UMS bantu tangani isu kesihatan di pedalaman Sabah

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan -

SISWA-SISWI Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa mempergiatkan aktiviti turun padang ke kawasan pedalaman Sabah bagi menjalankan kajian berkaitan isu kesihatan dan cara menanganinya dalam kalangan penduduk kampung di pedalaman Sabah.

Terbaharu, pelajar perubatan Tahun Empat UMS telah mengadakan program promosi kesihatan bersama penduduk di Kampung Tiga Papan, Kudat dengan kerjasama seramai 39 pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan yang turut membantu menjayakan program itu.

FPSK dalam satu kenyataan menjelaskan, aktiviti promosi kesihatan itu adalah termasuk dalam modul pembelajaran ‘Community Medicine Posting’ bagi pelajar perubatan tahun empat.

“Dalam aktiviti ini, pelajar dikehendaki membuat satu kajian kesihatan dalam sesebuah kampung untuk mengetahui isuisu kesihatan penduduk, serta akan membuat satu program promosi kesihatan sebagai langkah menangani isu-isu kesihatan berkenaan.

“Program ini turut mendapat bantuan dan kerjasama daripada ahli akademik dan pelajar dari USIM, dan diharap kerjasama serampang dua mata antara UMS dan USIM ini dapat mengetengahkan pertukaran idea serta perkongsian pengalaman dalam membentuk dan melahirkan doktor-doktor muda yang berpengetahuan dan berkemahiran,” demikian menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor USIM Prof Dato’ Hasan Basri Awang Mat Dan ketika berucap merasmikan program itu berkata, salah satu objektif penyertaan pelajar USIM dalam program promosi kesihatan itu adalah agar para peserta dapat diperkenalkan dengan pertuturan, budaya-budaya dan cara hidup komuniti di negeri Sabah.

“Hal ini akan memberi keuntungan kelak jika graduan-graduan USIM mendapat penempatan di hospital-hospital di Sabah,” katanya.

Sementara itu, wakil pelajar FPSK UMS, Requina Peter menjelaskan para peserta dari UMS telah berkampung selama enam minggu di Sikuati bagi menjalankan kajian mengenai isu-isu kesihatan penduduk setempat, dengan Kampung Tiga Papan dipilih sebagai lokasi kajian.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)

Tiga Papan Richard Somiun dalam majlis itu merakamkan penghargaan kepada pihak UMS dan USIM atas pelbagai aktiviti dan kajian yang dijalankan dan memberi manfaat besar kepada masyarakat kampung.

(Gambar atas) SEORANG penduduk kampung membuat pemeriksaan tekanan darah pada program itu.

(Gambar kiri) WARGA emas antara yang turut serta dalam aktiviti itu.

SALAH seorang pelajar dari USIM mengadakan sesi temubual berkaitan kesihatan diri kepada salah seorang penduduk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.