Bayi menangis ditemukan dalam kotak di perhentian bas

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Seorang pembantu kedai kopi menemukan seorang bayi perempuan di sebuah perhentian bas di Batu 3 Jalan Apas di sini, kira-kira jam 7.30 malam Jumaat.

Menurut laporan polis, pengadu Wamadji Ali, 44, menjumpai bayi itu di dalam sebuah kotak semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya apabila terdengar suara menangis.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata bayi terbabit sudah diserahkan kepada polis sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan awal.

“Pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan Dr Ranver Singh mendapati bayi itu dianggarkan berusia enam hingga 12 bulan kerana saiznya yang kecil dan berat 12kg.

“Bayi itu tidak mengalami kecederaan dan hanya ada alahan pada kulit serta ditempatkan di Wad 12 untuk pemerhatian lanjut Pegawai Perubatan,” katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata bayi terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Mengulas berdasarkan keterangan pengadu, beliau berkata bayi itu memakai baju berwarna merah jambu, berkulit cerah dan ada bersama beg barang bayi ketika ditemui.

“Melihat keadaan bayi masih hidup dan menangis, pengadu terus membawa bayi serta barang yang ditinggalkan bersama ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

BAYI perempuan berkenaan ditempatkan di Wad 12 untuk pemeriksaan lanjut.

WAMADJI menunjukkan kepada polis lokasi bayi itu ditemukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.