PANTAU SABOTAJ PARTI

Pembentukan jawatankuasa babitkan tiga komponen BN

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh SITI AISYAH NARUDIN

KOTA KINABALU: Pembentukan jawatankuasa di bawah tiga parti Kadazandusun Murut (KDM)dinegeriinibertujuan membantu memantau unsur sabotaj dalam parti komponen Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berkata, pihaknya melaksana langkah berkenaan bersama Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Menurutnya, jawatankuasa yang dibentuk itu akan membantu memantau kerjasama antara tiga parti berkenaan.

“Jika ada unsur sabotaj dalam parti, jawatankuasa ini yang akan kendalikannya untuk dibawa kepada Majlis Presiden PBS, Upko dan PBRS.

“Penyelarasan jawatankuasa ini juga bagi membantu jentera di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibentuk oleh Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Presiden PBS, Upko dan PBRS di sini pada Selasa.

Maximus berkata, jawatankuasa itu akan berkongsi maklumat strategik untuk tiga parti KDM bagi memastikan kerjasama dan sokongan sesama parti sentiasa kuat.

Selain itu jelasnya, mesyuarat berkenaan turut memfokuskan jentera pilihan raya dan penyelarasan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurutnya, ketiga-tiga parti berkenaan menyasarkan 20 kerusi DUN dan 10 Parlimen untuk bertanding dalam PRU14.

Katanya, objektif utama untuk PRU14 adalah memaksimumkan perpaduan dan kemenangan.

Pihaknya percaya dan yakin, kerjasama kuat antara ketiga-tiga parti itu mampu meningkatkan peluang kemenangan bagi BN dalam PRU14.

Turut hadir, Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup dan Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Majlis Presiden PBS, Upko dan PBRS turut melibatkan timbalan presiden, setiausaha agung dan ketua penerangan bagi setiap parti.

MAXIMUS (tengah), Madius (kanan) dan Kurup (kiri) bersama ahli dan sekretariat Majlis Presiden PBS, Upko dan PBRS.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.