DAP Sabah sanggup korbankan kerusi

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah sanggup korbankan beberapa kerusi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan matlamat membentuk sebuah kerajaan mampu dicapai.

Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong berkata, untuk mencapai matlamat yang lebih besar, DAP sedia mengorbankan kerusi yang ditandingi dalam PRU sebelum ini kepada parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Setiap parti memang tidak puas hati dan mahukan lebih banyak (kerusi). Namun, untuk mencapai matlamat yang lebih besar, kita perlu bekerjasama dan berkorban supaya matlamat PH dan Warisan untuk menumbangkanBNtercapai,” katanya pada sidang media pengumuman calon DAP Sabah bagi PRU14, di sini pada Selasa.

Katanya, antara kerusi DAP Sabah yang dikorbankan termasuklah Sook, Tanjung Aru, Karamunting, Sepanggar dan Putatan.

Mengenai calon DAP Sabah pada PRU14, Stephen berkata 40 peratus daripada 10 kerusi yang ditandingi DAP adalah muka baharu.

Empat calon baharu itu termasuklahJannieLasimbang (Kapayan), Ginger Phoong Jin Zhe (Luyang), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peter Dhom Saili (Bingkor).

Calon lain yang turut bertanding mewakili DAP Sabah adalah Stephen Wong (Sandakan), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu) dan Noorita Sual (Tenom), manakala calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah Jimmy Wong (Sri Tanjong), Calvin Chong (Elopura) dan Frankie Poon (Tanjung Papat).

“Semua calon yang akan bertanding ini dipilih secara berhati-hati. Ini bagi memastikan mereka kekal berjuang bersama-sama DAP.

“Kita juga yakin sekiranya calon-calon ini dipilih sebagai wakil rakyat, mereka mampu berkhidmat dengan baik,” katanya.

Berkenaan hubungan antara PH dan Warisan, beliau berkata kerjasama antara kedua-duanya agak baik.

Mengenai khabar angin bahawa DAP tidak akan menggunakan logo sendiri, Stephen berkata DAP Sabah masih akan menggunakan logo DAP kerana senario di Sabah dan Semenanjung Malaysia agak berbeza.

Di Semenanjung Malaysia, PH sepakat menggunakan logo PKR namun, di Sabah diberi pengecualian dan masih akan menggunakan logo DAP.

Dalam perkembangan lain, beliau mengalu-alukan penyokong PH supaya hadir beramai-ramaidalamCeramah Perdana Harapan di Sandakan pada 21 April ini.

Program itu dijangka akan dihadiri oleh Timbalan Presiden PH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta beberapa pemimpin kanan lain.

STEPHEN (duduk, tiga kiri) bersama barisan calon DAP yang akan bertanding dalam PRU14.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.