Pengakap perlu yakin semasa menjalankan tugas

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

LABUAN: Mengetahui peranan dan tanggungjawab serta keyakinan diri semasa menjalankan tugas sebagai pemimpin pengakap merupakan antara objektif utama dalam Kursus Manikayu Peringkat 1.

Kursus itu merupakan satu skim kelayakan yang perlu dihadiri oleh setiap ahli pengakap yang dilantik menjawat jawatan pemimpin di kumpulan masing-masing.

Seramai 14 orang terdiri daripada pemimpin pengakap dari kumpulan yang berpusat di sekolah masing-masing antaranya SK Membedai, SK Pantai, Labuan International School (LIS), seorang Pengakap Kelana dan seorang dari Kumpulan Bebas menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 16 orang.

Kursus yang diadakan selama tiga hari dua malam di Desa Tunas Hijau, Kampung Sungai Miri itu berjaya dilalui walaupun diduga dengan kehadiran ribut dan hujan.

Kecekalan para peserta mengharungi pengalaman berharga itu menjadikan mereka semakin memahami kepentingan merancang sesuatu program dalam aktiviti pengakap dengan mengambil kira faktor cuaca dan bentuk muka bumi yang sesuai dengan keadaan semasa.

Objektif kursus adalah untuk memahami erti serta dapat melakukan hormat, isyarat dan jabat tangan pengakap.

Memahami dan menjalankan Istiadat Laung Agung dan Istiadat Bendera dengan sempurna dan tertib. mengetahui jenisjenis lencana, kemahiran berpengakap yang diperlukan dalam skima pengakap.

Menerangkan dan memahami tugas serta tanggungjawab ketua patrol di samping peranan dan faedah Sistem Berpatrol agar dapat mengurus patrol dengan baik dan berkesan serta menambah pengalaman sedia ada.

“Dengan menghadiri kursus sebegini dapat membantu saya menguasai kemahiran berpengakap yang diperlukan mengikut skima Program Latihan supaya dapat dipraktikkan apabila mengajar kemahiran itu kepada ahli pengakap di kumpulan saya dengan lebih efektif.

“Pengalaman berkhemah dipenuhi air juga merupakan pengalaman pertama saya sepanjang mengikuti program perkhemahan yang tentunya tidak dapat dilupakan dan sangat menarik untuk dikongsi bersama keluarga, sanak saudara dan murid-murid khususnya,” kata Md Farihi Ab Halim, salah seorang peserta kursus yang juga Guru Besar SK Membedai.

ManikayuPeringkat1merupakan satu daripada enam peringkat dalam Kursus Kepimpinan Manikayu (Peringkat Pengenalan hingga Peringkat Keempat) yang diberikan oleh Pasukan Latihan, Persekutuan Pengakap Malaysia, telah dianjurkan oleh Pasukan Latihan Negeri WP Labuan lanjutan daripada Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat Pengenalan di SK Pantai pada 10 Mac lalu.

Mereka yang menamatkan latihan diberikan pengesahan dalam bentuk dua manik kayu pada tali kulit. Penerima Manikayu dikenali sebagai Wood Badger atau Gilwellian.

Majlis perasmian penutupan dan penyampaian sijil penyertaan disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Skip Hong Heng Chee.

HONG (duduk, tiga kanan) bersama pemimpin pengakap yang menghadiri Kursus Manikayu Peringkat 1 di Desa Tunas Hijau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.