UMS tawar Kursus Revolusi Industri 4.0

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

KOTA KINABALU: Dalam usahanya untuk menjadi sebuah universiti yang memenuhi spesifikasi pintar atau SMART University maka, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah dan sedang melaksana beberapa pendekatan secara bersepadu.

Ia termasuklah memperkenalkan Kursus Revolusi Industri dan Kaedah Penyelidikan sebagai kursus wajib. Kedua-dua kursus ini merupakan kursus asas yang ditawarkan kepada para pelajar di semua fakulti di mana IT bukan merupakan subjek terasnya.

Dengan kata lain, UMS telah mengambil langkah ke depan untuk memastikan para pelajarnya mengenali dan menelusi apa yang dimaksudkan dengan Revolusi Industri 4.0 (RI4.0) dan bagaimana mereka kelak mampu menangani segala cabaran yang dibawa oleh persekitaran baharu ini.

Pada era ini, rutin hidup masyarakat dan persekitaran tempat kerja telah pun mula dikawal dan didefinisikan oleh teknologi siber-fizikal. Tahap kebergantungan kepada sistem ini adalah sangat ketara dan mula mempengaruhi cara kita bekerja dan berinteraksi dengan orang lain.

Sama ada kita suka atau tidak, kita adalah sebahagian daripada revolusi industri global yang terus berkembang dan perlu bijak memanfaat dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu ini.

Digitisasi pengetahuan baik dalam dunia sebenar mahupun maya akan menjadi pemacu inovasi dan revolusi dalam setiap aspek kehidupan. Pada dasarnya, pendigitalan ilmu akan membawa kepada jumlah data yang berkembang pesat yang boleh diakses dan dikongsi melalui teknologi kemajuan yang menyokong Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Hal-hal seperti inilah yang mendorong pihak UMS bergerak pantas memperkenalkan kursus baharu ini kepada para pelajarnya.

Pada babak pertama kursus ini dikendalikan, para pelajar akan didedahkan kepada konsep dan pilar pengetahuan digitalisasi dan mesin sebagai komponen penting dalam memacu peralihan Malaysia dari sebuah negara ekonomi yang dipandu oleh tenaga kerja kepada masyarakat yang berpengetahuan.

Pada babak kedua kursus ini pula, para pelajar akan diperkenalkan dengan strategi sistematik dan amalan terbaik yang bersesuaian dalam menjalankan penyelidikan terutamanya untuk meningkatkan dan membimbing proses penulisan manuskrip sains dan penyelidikan yang lebih berkesan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.