‘Satu graduan, satu keluarga’

Sasaran minimum untuk mengisi keperluan TN50

Utusan Borneo (Sabah) - - Citra Utusan - Oleh KENNEDDY CORLLEUS

BAGI menyahut cabaran Transformasi Nasional 2050 (TN50), ibu bapa diminta mengutamakan agenda pendidikan anak-anak demi jaminan masa depan mereka. Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata bagi mencapai matlamat itu setiap keluarga harus menetapkan sasaran sekurang-kurangnya ‘Satu Graduan, Satu Keluarga’ bagi mengisi keperluan negara pada masa akan datang.

Jelas beliau, pendidikan adalah prasyarat membebaskan sesebuah keluarga daripada kepompong kemiskinan.

Justeru katanya, ibu bapa perlu memanfaatkan peluang disediakan kerajaan dalam pendidikan bagi mengisi keperluan TN50 kelak.

“Masa depan kita penuh dengan pelbagai cabaran, manakala pendidikan adalah pemangkin untuk kemajuan diri seseorang dan sesebuah keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Tingkatan Enam 2017 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengiran Omar di Beaufort pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Sipitang Yamani Hafez Musa dan Ketua Penerangan Umno Sipitang Matbali Musah.

Pada majlis itu, hampir 100 pelajar menerima pelbagai anugerah kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

Sapawi yang juga Ketua Bahagian Umno Sipitang berkata, pendidikan mentransformasi kehidupan seseorang, justeru kerajaan menyediakan berbagai kemudahan termasuk biasiswa selain prasarana pendidikan.

“Saya berharap pelajar memajukan diri dalam pelbagai kemahiran untuk mengisi keperluan sektor pekerjaan di masa depan, termasuk sektor minyak dan gas.

“Selain akademik, kita perlu memiliki kemahiran dalam bidang-bidang tertentu bagi memenuhi permintaan semua sektor,” katanya.

Menurutnya, ketika ini terdapat lebih 21 universiti awam serta lebih 500 universiti swasta di negara ini yang menyediakan pelbagai kemahiran kepada generasi muda, termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sehingga kini sudah mengeluarkan lebih 16,000 graduan pelbagai sektor.

Mengenai majlis itu, Sapawi berharap seluruh pelajar yang diraikan dapat meneruskan kejayaan di peringkat lebih tinggi demi memastikan mereka dapat menyumbang tenaga dalam bidang pekerjaan yang diperlukan kelak.

Katanya, majlis seumpamanya penting sebagai pembakar semangat kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam pendidikan.

“Saya berharap pelajar memajukan diri dalam pelbagai kemahiran untuk mengisi keperluan sektor pekerjaan di masa depan, termasuk sektor minyak dan gas. Selain akademik, kita perlu memiliki kemahiran dalambidang-bidangtertentubagimemenuhi permintaan semua sektor. ”

DATUK SAPAWI AHMAD Pengarah Yayasan Sabah

(Gambar atas) SAPAWI menyampaikan amanatnya pada majlis itu. (Gambar kanan) SAPAWI memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis itu.

SEBAHAGIAN yang hadir merakamkan gambar kenangan bersama Sapawi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.