13 terima anugerah sempena Majlis Inspirasi Wanita

Utusan Borneo (Sabah) - - Rencana -

SERAMAI 13 wanita daerah ini menerima anugerah pada Majlis Inspirasi Wanita di Dewan Masyarakat Ranau yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Para penerima ialah Hajah Saimah Said, Hajah Bainun Gintua, Gompios Dangkat, Latiah Dungkiar, Kundi Tungok, Emah Tadong, Lajukin Ajin, Seliah @Saleha Rametan, Rusiah Bongoh, Tialam Doronsoi, Lombi Gungkat, Rukimah Daransai dan Meiam Kabas.

Masidi dalam ucapannya berkata, anugerah itu adalah penghargaan kepada mereka yang telah berjaya sekaligus menjadi ikon dan inspirasi kepada wanita lain untuk berjaya.

Ia kerana, kebanyakan penerima anugerah itu berasal dari keluarga miskin dan tidak mempunyai pendidikan formal tetapi cemerlang mendidik anakanak mereka untuk berjaya dalam kehidupan.

“Saya secara peribadi mengenali mereka dan anak-anak mereka yang berjaya. Malah, sebahagian daripada anak-anak mereka memegang jawatan tinggi dalam sektor kerajaan dan swasta,” katanya.

Menurutnya, bakat wanita terutamanya ibu adalah sangat tinggi dan semua pihak harus menghargai mereka dalam setiap sudut kerana sejak lahir sehingga seseorang dibesarkan dan menjadi sukses meskipun dalam kehidupan agak susah, ibu tetap setia dan tekun mendidik anak-anak.

Masidi berkata lelaki (suami) juga mempunyai peranan dalam masyarakat tetapi semua orang harus sentiasa memberi tempat istimewa kepada wanita.

“Kita menghormati dan mengiktiraf sumbangan, jasa, pengorbanan perkhidmatan, dedikasi dan peranan wanita dalam masyarakat kita. Peranan wanita, terutamanya kaum ibu, mesti dihargai sepenuhnya dan tidak patut dipinggirkan walaupun dalam keadaan yang sibuk. Kita mesti meluangkan masa bersama ibu kita, sementara mereka masih ada,” katanya.

Pada majlis itu, beliau juga melancarkan Kelab Semangat Ranau No 1 yang dipengerusikan oleh Kereen Domi dan meluluskan peruntukan RM10,000 sebagai geran permulaan untuk kelab berkenaan.

Antara yang hadir ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Joachim Gunsalam, bekas mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir, Pegawai Daerah Hj Faimin Kamin, SAC Jauteh Dikun dan Ketua Umno Wanita Ranau Datuk Amisah Yassin.

MASIDI (tengah) menyampaikan anugerah kepada salah seorang wanita sambil diperhatikan Faimin (kanan) dan Amisah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.