UMS A johan Debat Terbuka Ekonomi Piala Pengarah 2018

Utusan Borneo (Sabah) - - Pendidikan -

PASUKAN Universiti Malaysia Sabah (UMS) A muncul johan Pertandingan Debat Terbuka Ekonomi Piala Pengarah (DTEPP) 2018 Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang diadakan di Dewan Utama UMSKAL pada 13-15 April.

Dengan kemenangan itu, pasukan UMS A yang diwakili Nur Medina Khairul Anuar dan Nur Fitri Aida Jamali membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan, trofi dan sijil penyertaan.

Pasukan UMS A pulang ceria selepas Nur Medina Khairul Anuar dinobatkan sebagai pendebat terbaik.

Naib johan Muhammad Luqmannul Hakim Malik dan Nur Aidani Halim yang mewakili Universiti Malaya (UM) dan menerima RM800, trofi dan sijil penyertaan , manakala tempat ketiga dimenangi UiTM B Sabah yang diwakili Muhamad Afwan Mahmud dan Effy Atiqah Mumin untuk meraih RM500, trofi dan sijil penyertaan.

Dayang Nur Aisyah Abu Baharin dan Nina Najwa Zuki Paiso yang mewakili pasukan Demi Alpha dari UMS Kota Kinabalu menduduki tempat keempat menerima RM250, trofi dan sijil penyertaan.

Sebanyak 21 pasukan dari seluruh negara menyertai Pertandingan Debat Terbuka Ekonomi Piala Pengarah (DTEPP) 2018 UMSKAL anjuran Kelab Debat Bahasa Melayu (KDBM) UMSKAL.

Penganjuran pertandingan DTEPP itu bertujuan menyahut Falsafah Pendidikan Negara iaitu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Pertandingan itu dihangatkan lagi dengan penampilan pendebat yang mewakili universiti seluruh negara di pentas yang sama iaitu Debat British Style.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah UMSKAL Profesor Madya Dr Murnizam.

Turut hadir, Penolong Pendaftar, Sektor Hal Ehwal Pelajar Mohd Fazli Sarudi, Penyelaras Kelab Debat Bahasa Melayu UMSKAL Suzillah Sidek dan Pengarah Program Debat Terbuka Ekonomi Piala Pengarah 2018 Nursyazwani Hassan.

MURNIZAM menyampaikan hadiah johan kepada pasukan UMS A sambil diperhatikan Nursyazwani (kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.