Fiesta NBOS bawa perkhidmatan agensi, jabatan kerajaan kepada rakyat

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

SARIKEI: Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) telah berjaya membawa perkhidmatan agensi dan jabatan kerajaan terus kepada rakyat di peringkat akar umbi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii.

Katanya, program ini turut berjaya meningkatkan keberkeberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Melalui program seumpama ini, ia (NBOS) telah membantu kerajaan memberi peluang yang lebih baik kepada rakyat untuk turut serta menggubal polisi negara di samping mendapat manfaat daripada yang telah direncanakan.

“Prinsip NBOS adalah lain daripada kaedah biasa yang memberi penekanan kepada aktiviti berkos rendah, berimpak tinggi dan pelaksanaan yang pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Festa NBOS di pekarangan Dewan Suarah Sarikei, petang Ahad.

Lebih 30 agensi kerajaan mengambil bahagian dalam program tiga hari tersebut.

Menurut Huang, program itu turut memberi peluang kepada masyarakat mendekati pemimpin dan mengeratkan hubungan.

Program ini juga, kata Huang, turut memberi peluang kepada masyarakat dan golongan usahawan untuk mempergiat aktiviti perniagaan mereka.

“Aktiviti seperti ini akan membolehkan golongan ini memasarkan produk mereka.

“Ini adalah satu peluang yang amat baik bagi mereka memperkenalkan hasil keluaran kepada dunia luar.

“Kita berharap dengan penganjuran program seperti ini mampu memberi impak positif besar kepada golongan ini untuk terus melangkah ke hadapan dan mencapai kejayaan,” tegasnya.

Pada majlis itu, Huang turut menyampaikan hadiah pemenang cabutan bertuah dan gerai Terbaik Kategori Perkhidmatan dan Pameran.

Pemenang cabutan bertuah yang menawarkan sebuah kereta pada Fiesta NBOS kali ini ialah pesara polis Dickson Pador Bandok.

Sejumlah 9,727 penyertaan telah diterima pihak penganjur untuk cabutan bertuah pada kali ini.

Untuk Gerai Terbaik Kategori Perkhidmatan dan Pameran pula, tempat pertama dianugerahkan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, tempat kedua GIATMARA dan ketiga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

DICKSON menerima replika kunci kereta yang dimenanginya dalam cabutan bertuah yang disampaikan Huang (dua kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.