127 kes dengan nilai rampasan RM280,751.45 direkod KPDNKK setakat 10 April

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

KUCHING: Sejumlah 127 kes membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan RM280,751.45 direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak dari 1 Januari hingga 10 April tahun ini.

Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Abd Hafidz A. Rahim berkata, ia adalah hasil operasi pemeriksaan ke atas 12,359 premis di seluruh Sarawak iaitu 9,377 premis di bandar dan 2,982 premis di luar bandar.

Hasil pemeriksaan itu katanya, membuktikan bahawa kementerian tidak hanya menumpukan pemeriksaan di bandar sahaja tetapi juga di luar bandar kerana itu semua adalah demi kepentingan pengguna.

“Justeru, daripada hasil pemeriksaan yang telah dilakukan ke atas 12,359 premis dalam tempoh tersebut, kami telah merekodkan sebanyak 127 kes dengan nilai rampasan membabitkan sejumlah RM280,751.45 manakala nilai kompaun pula sebanyak RM12,950.

“Kesemua (127) kes yang diambil adalah melibatkan undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPDNKK Sarawak sempena sambutan Hari Penguatkuasa Ke-46 yang disempurnakan Pengarah KPDNKK Sarawak Datuk Stanley Tan di sini, pada Isnin.

Turut diadakan adalah majlis penyerahan dokumen serah tugas Abdul Hafidz Abdul Rahim kepada Mohd Nawawi Abdul Rahman yang mengambil alih jawatan beliau berkuat kuasa Isnin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.