Penganjuran program sukaneka erat silaturahim keluarga, rapatkan hubungan sesama masyarakat

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

KUCHING: Penganjuran program sukaneka oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga bahkan dapat merapatkan lagi hubungan sesama masyarakat setempat.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, selain itu aktiviti sedemikian dapat menceriakan institusi keluarga dan masyarakat.

“Banyak cabaran dalam semua penganjuran sesuatu program tetapi dengan adanya kerjasama yang mantap maka semuanya sudah pasti akan berjalan lancar.

“Apatah lagi, pada zaman sekarang ketua keluarga sememangnya sibuk mencari nafkah untuk keluarga tetapi dengan adanya program keluarga sebegini, ia akan memberi peluang kepada sesebuah keluarga menyertai aktiviti bersama masyarakat sekeliling,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sukaneka Keluarga Boyan Gersik Sourabaya (BGS) 2018 dan Pertandingan Ngail Raja Udang di Kuching, baru-baru ini.

Majlis itu merupakan anjuran Kejiranan Mesra (KJM) BGS dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Boyan dan Pergerakan Wanita PBB Ranting Boyan.

Bercakap mengenai majlis itu, Dr Abdul Rahman mengucapkan tahniah dan syabas kepada KJM BGS, Pergerakan Wanita PBB Ranting Boyan dan PBB Ranting Boyan atas kejayaan menganjur pogram tersebut.

“Terima kasih juga kepada DBKU kerana telah berjaya mengambil inisiatif menubuhkan KJM ini bagi membantu mereka mengadakan program bersama komuniti di bawah pentadbiran mereka.

“DBKU sentiasa bersama kita dan telah mengadakan takwim tahunan bagi menganjurkan program bersama kita,” katanya sambil memberitahu KJM BGS merupakan gabungan Kampung Boyan, Kampung Gersik, Kampung Sourabya Ulu dan Kampung Sourabaya Hilir.

Beliau dalam pada itu, menyarankan agar Pertandingan Ngail Udang itu menjadi acara tahunan memandangkan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.

“Dengan menjadikan acara ini sebagai aktiviti tahunan, banyak manfaat yang akan kita peroleh selain dapat menarik kehadiran ramai pelancong lebih-lebih lagi kawasan ini mempunyai banyak tarikan dan keistimewaannya tersendiri.

“Semoga kawasan BGS ini akan terus maju dalam pelbagai bidang dan masyarakat hidup dalam kedaan aman dan ceria serta dapat meningkatkan taraf ekonomi rakyat khasnya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Damai itu.

DR ABDUL Rahman bergambar kenangan bersama penduduk pada Majlis Perasmian Sukaneka Keluarga Boyan Gersik Sourabaya (BGS) 2018 dan Pertandingan Ngail Raja Udang di Kuching, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.