Ekuinas ceburi sektor ems menerusi pembelian kepentingan FVG

Utusan Borneo (Sabah) - - Bisnes -

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) kini menceburi bidang perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) menerusi pembelian kepentingan utama dalam pengeluar turnkey (siap guna) dan komponen, Flexi Versa Group Sdn Bhd (FVG), pada harga RM330 juta.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata ini merupakan pelaburan kedua Ekuinas dalam sektor pembuatan susulan pengambilalihan firma reka bentuk dan perundingan pencahayaan tempatan, Davex (M) Sdn Bhd pada Disember 2017.

“Strategi pelaburan Ekuinas adalah untuk mengenal pasti syarikat Malaysia yang kukuh, berpotensi besar dan menyasarkan untuk berkembang di peringkat serantau.

“Asas FVG yang kukuh beserta potensi pasarannya merupakan faktor utama yang kami pertimbangkan dalam membuat keputusan ini,” katanya.

Syed Yasir Arafat berkata rekod prestasi kewangan dan kemampuan operasi FVG, khususnya dalam penyepaduan entiti berbeza dan merangka formula, hanya mengukuhkan lagi kedudukannya dengan hasil dianggarkan RM300 juta serta menjadi asas pertumbuhan di peringkat tempatan dan rantau ini.

Perniagaan FVG bermula pada 1994 manakala unit pegangan pelaburan ditubuhkan pada 2013 bagi memacu matlamat pihak pengurusan untuk membentuk sebuah kumpulan EMS.

Pada masa ini, FVG mengendalikan tujuh kilang di Malaysia dan dua lagi di luar negara serta berstatus pengeluar kontrak Peringkat 1 dan Peringkat 2 kepada jenama elektronik terkemuka global seperti Sony, Panasonic, Onkyo, Sony, Dyson dan JVC Kenwood.

Kekuatan FVG diperkukuhkan lagi keupayaan rangkaian pembuatan, kemampuan bertapak di rantau ini serta kapasiti menyokong sasaran pertumbuhannya.

Syed Yasir Arafat berkata kehadiran syarikat itu di empat negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia, Vietnam dan Malaysia turut memberi kelebihan dari segi memanfaatkan kedudukan di negara-negara itu sebagai hab pembuatan kenderaan bermotor serta produk elektrikal dan elektronik pengguna.

Sementara itu, CEO Kumpulan FVG, Chng Boon Huei menyifatkan pakatan dengan Ekuinas itu sebagai menepati objektif bersama kedua-dua pihak yang mahu mengembangkan kehadiran syarikat terbabit di peringkat serantau.

“Saya yakin ini akan membuka episod baharu pertumbuhan syarikat dan membolehkan kami terus berkembang dan memainkan peranan lebih penting dalam reka bentuk, pembuatan dan pembangunan masa depan produk-produk pelanggan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.