Pelbagai program menarik di TV AlHijrah sepanjang April ini

Utusan Borneo (Sabah) - - Hiburan -

SEPANJANG bulan April 2018 ini, pelbagai rancangan menarik telah disusun khas untuk penonton setia TV AlHijrah. Pemilihan siaran sepanjang April ini adalah bagi memenuhi permintaan penonton yang mahukan rancangan inklusif meliputi semua genre seperti bual bicara, kerohanian, dokumentari serta motivasi.

Peningkatan peratusan penonton yang mengikuti pembelajaran menerusi kaca televisyen ini, sangat memberi semangat buat TV AlHijrah untuk menyiarkan lebih banyak program-program keagamaan dan kerohanian disamping menerapkan mesej kesatuan ummah.

Ini jelas membuktikan TV AlHijrah berjaya menerbitkan program-program yang memberi nilai tambah kepada masyarakat.

Atas sambutan yang amat menggalakkan program Dakwah Live dan Mai Ngaji telah disambung untuk musim kedua bagi mengisi slot istimewa sepanjang bulan April di samping rancangan baharu Orang Diparol dan penambahbaikan rancangan Dakwah Live serta Mai Ngaji.

Rancangan Orang Diparol (ODP) merupakan program bual bicara baharu yang diterbitkan oleh TV AlHijrah dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Telekom Malaysia (TM).

Buat pertama kalinya TV AlHijrah menunjukkan kejayaan sistem Parol yang diamalkan oleh pihak berkuasa dalam mengurangkan kadar jenayah berulang di Malaysia.

Melalui rancangan ini, masyarakat boleh melihat modal insan yang dapat dibentuk atas kesedaran daripada kesilapan masa lalu serta mengubah persepsi dan mendidik masyarakat untuk menerima banduan dan memberi peluang kepada bekas banduan meneruskan kehidupan di luar penjara.

Antara topik-topik yang akan dibincangkan dalam rancangan tersebut adalah seperti Peluang Kedua, Mujahadah Melawan Nafsu, Hijrah, dan Sinar Keinsafan.

Rancangan bual bicara sebanyak 8 episod ini akan dikemudikan oleh Ustaz Dr. Farid Ravi dan akan ditemani oleh ODP serta tetamu khas bagi mengupas kejayaan sistem parol yang diamalkan serta menyuntik emosi dan memberi inspirasi kepada penonton melalui kisah realiti ini.

ODP menemui penonton TV AlHijrah pada setiap hari Jumaat, jam 9 malam bermula 13 April.

Sementara itu, Dakwah Live adalah sebuah program bual bicara yang disiarkan secara langsung pada setiap Isnin hingga Rabu tepat jam 9 malam hingga 10 malam.

Siaran ulangan pula pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis jam 6.30 pagi.

Setelah mendapat pengikut yang ramai pada musim lalu, Dakwah Live sekali lagi muncul pada musim baharu berikutan respon baik dari penonton yang mahukan rancangan bual bicara ini diteruskan. Walaupun baru sahaja bersiaran sebanyak 20 episod pada musim lalu, program ini berjaya mencapai peratusan penonton tertingginya sebanyak 233 ribu.

Dakwah Live boleh dikategorikan sebagai kemuncak dan pelengkap kepada program bual biacara sedia ada di TV AlHijrah dimana program dakwah yang santai dengan tajuk yang mudah dihadam oleh penonton selain menepati citarasa kontemporari.

Dakwah Live menggunapakai konsep dakwah separa-realiti yang luarbiasa bercirikan penglibatan dan interaksi santai antara penonton di studio bersama pendakwah terkemuka yang bertindak sebagai hos rancangan.

Mengekalkan hos rancangan musim lalu seperti Datuk Dr. Izhar Arif, Datuk Nurhafiza Musa, Dr. Nik Salida Nik Salleh dan Dr. Syarifah Hayati, mereka juga akan ditemani oleh ramai personaliti terkemuka yang akan turut muncul sebagai tetamu.

Lebih menarik setiap episod siaran langsung ini turut menawarkan hadiah menarik secara spontan kepada penonton di studio.

Dakwah Live akan bersiaran selama 14 episod pada musim baharu dan bakal membincangkan topik-topik menarik seperti Kerja itu Ibadah, Jihad yang Dilupakan, Titik Peluh yang Mulia, dan Kuat Lagi Amanah bermula 9 April.

Selain itu, TV AlHijrah tidak pernah menghampakan penonton setianya dalam membe-rikan sajian rancangan yang terbaik dari sudut kefahaman fardhu ain dan fardhu kifayah.

Atas kesedaran ini jugalah, TV AlHijrah menambah baik kandungan rancangan Mai Ngaji yang menyediakan platform buat umat Islam untuk mempelajari, menyemak, mengkaji serta memperdengarkan bacaan Al Quran secara beramai-ramai.

Mengekalkan Ustazah Nadhrah Mohamed Yunos selaku tenaga pengajar dalam program tersebut, telah terbukti dapat menarik minat penonton untuk mendalami ilmu bacaan Al-Quran dan mempelajari ilmu tajwid.

Menerusi rancangan ini juga, Ustazah Nadhrah bersama dengan 150 orang pelajar seolah olah seperti berada di dalam dewan kuliah.

USTAZAH NADHRAH MOHAMED YUNOS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.