Jannie yakin pengundi Cina sokong calon DAP

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh SURAIDAH ROSLAN

KOTA KINABALU: Calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan Jannie Lasimbang yakin masyarakat Cina akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada siapa juga calon DAP yang bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau percaya sokongan pengundi di DUN Kapayan bukan bergantung kepada bangsa seseorang calon. Sokongan pengundi bergantung kepada bagaimana seseorang calon itu memahami dan cuba membantu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat di kawasan berkenaan.

Untuk menjadi wakil rakyat yang baik katanya, apa yang penting adalah usaha untuk membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

“Saya cuba melakukan yang terbaik untuk mendekati masyarakat Cina dan kebanyakan mereka yang saya temui meletakkan kepercayaan terhadap DAP. Penyokong Cina tahu apa yang mereka mahu,” katanya ketika ditemui semasa pengumuman calon DAP Sabah untuk PRU14, di sini pada Selasa.

Mengenai undian yang dibuat melalui laman sosial Facebook bahawa masyarakat Cina tidak mengenali beliau, Jannie berkata undian sebegitu tidak memberi sebarang makna.

Itu adalah cara mereka mendapatkan data peribadi pengundi yang menyertai undian yang dilakukan melalui Facebook.

“Saya ingatkan kepada penyokong saya supaya tidak masuk dalam laman undian sebegitu kerana ia adalah taktik untuk memperolehi data daripada pengundi,” jelasnya.

Mantan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Sabah itu berkata, sepanjang mengadakan lawatan ke kawasan kampung dan premis komersil di Kepayan, maklum balas yang diterima masyarakat sekitar amat baik.

Beliau juga bekerja dengan beberapa sukarelawan yang membantunya dalam terjemahan Bahasa Cina. Langkah sebegitu dilihat memudahkannya mengenalpasti keperluan dan kehendak masyarakat Cina di Kepayan.

CALON kaum bumiputera DAP Sabah (dari kiri) Jannie, Peter Dhom Saili (DUN Bingkor) dan Noorita Sual (Parlimen Tenom).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.