Tekad selesai isu air di Selangor bukan ‘omong kosong’ BN

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

SHAH ALAM: Krisis air yang tidak berkesudahan di Selangor menguatkan lagi tekad Barisan Nasional (BN), yang menerajui Kerajaan Persekutuan, untuk terus berusaha menawan kembali Selangor dan mengambil langkah proaktif menyelesaikan isu bekalan air sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Kebimbangan BN itu berasas lebih-lebih lagi dengan pendedahan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) baru-baru ini bahawa margin simpanan air yang sifar di Selangor adalah antara penyebab krisis itu berlanjutan.

Akujanji menyelesaikan segera krisis air itu merupakan agenda utama dalam Manifesto BN Selangor untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 8 April oleh Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Noh Omar.

Manifesto itu menggariskan 10 program merangkumi 100 inisiatif fokus dengan lima matlamat utama yang menawarkan Kestabilan Politik dan Pentadbiran Negeri Berprestasi Tinggi; Keselamatan, Kesejahteraan dan Kemakmuran Rakyat; Infrastruktur dan Kemudahan Asas Mesra Pengguna; Ekonomi Berkembang Maju, Mampan, Inovatif dan Berdaya Saing di peringkat Global serta Kesepaduan Rakyat Tonggak Utama Kelestarian Pembangunan Sosioekonomi Negeri, sekiranya berjaya merampas semula Selangor.

Antara inisiatif fokus BN adalah memuktamadkan segera penstrukturan semula industri air di Selangor demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Ramai menyatakan mereka tidak lagi sanggup menghadapi masalah air yang dilihat berpunca daripada sikap kerajaan negeri pimpinan PKR yang tidak serius menangani krisis berkenaan meskipun telah mentadbir Selangor hampir 10 tahun.

Ini ditambah dengan sikap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang gemar menuding jari menyalahkan Kerajaan Persekutuan berhubung krisis air di negeri itu.

Ketika melancarkan manifesto berkenaan, Noh berkata isu air di Selangor adalah amat dekat di hatinya.

Lantaran itu, beliau bertekad untuk segera memuktamadkan penstrukturan semula industri air yang selama ini prosesnya sengaja dilengah-lengahkan Mohamed Azmin.

Selain penyelesaian krisis air, BN Selangor turut memberi tumpuan terhadap penyediaan program perumahan dan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Selangor yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri ketika ini.

Antara akujanji berkenaan perumahan termasuklah pembinaan 50,000 unit rumah mampu milik, pemulihan projek perumahan terbengkalai, 10 peratus pemberian insentif pembelian rumah pertama bawah RM200,000, pembinaan 6,000 unit rumah transit belia, dan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dijadikan rumah sewa beli.

Noh berkata dasar kerajaan negeri yang tidak konsisten menyebabkan banyak projek perumahan terbengkalai di Selangor selain kegagalan membina rumah mampu milik dan kelemahan kerajaan negeri itu meletakkan Selangor sebagai negeri yang mempunyai projek perumahan terbengkalai tertinggi di negara ini.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.