Gaya CLEO beri manfaat kepada komuniti setempat

Akan berterusan secara berkala sehingga 2024

Utusan Borneo (Sabah) - - Rencana - JONISTON (empat kiri) diiringi Lucy serta Gerturude (empat kanan) ketika melawat kelas Tahun Enam SK Tudan.

Gaya CLEO Rangkuman Lima Program

LOKASI pertama projek penanaman mulberi di negeri ini terpilih sebagai tempat berlangsungnya Program Gaya Community Leadership Educational Outreach (CLEO) anjuran Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu berkata program yang dijalankan pada 2 hingga 6 April itu amat bermakna bagi masyarakat setempat.

“Saya amat menghargai usaha murni IPG ini, sumbangan mereka terutama sekali pemberian bahan bacaan Bahasa Inggeris kepada murid-murid SK Tudan amat besar manfaatnya.

“Pada saya, program ini juga membolehkan para pelatih IPG khususnya yang berasal dari Semenanjung dan Sarawak dapat mengenali Kg Tudan yang terkenal dengan tanaman mulberi dengan lebih dekat,” katanya ketika merasmikan program berkenaan, diiringi isteri, Datin Lucy Irene Yong.

Majlis yang dihadiri lebih 60 pelajar dan 40 pensyarah serta staf IPGK Gaya itu terdiri daripada murid-murid dari SK Tudan dan SK Poring selain ahli komuniti Kg Tudan.

Beri Manfaat Kepada Komuniti

Sementara itu, Pengarah IPG Kampus Gaya Gerturude Jock pula menyatakan Program Gaya CLEO memberi manfaat besar kepada seluruh lapisan masyarakat di Kg Tudan khususnya dalam aspek kepimpinan, kurikulum dan keusahawanan.

“Tujuan utama program ini dirancang adalah untuk mengadakan kerjasama program kepimpinan dan peningkatan kurikulum antara IPG dengan komuniti setempat mengikut fasa.

“Program Gaya CLEO telah dimulakan pada 2-6 April lalu dengan fasa satu di Kg Tudan, Tuaran dan akan berterusan secara berkala sehingga 2024.

“Pelaksanaan program ini juga dilakukan tujuh fasa dengan setiap kampung yang terpilih akan diberikan bantuan dan sokongan sebanyak tiga kali,” jelasnya.

Menurut Gerturude, Program Gaya CLEO merangkumi lima teras atau program iaitu Kem Kepimpinan, Pendidikan Luar, Program Pendidikan Sekolah Rendah, Program Outreach Komuniti Setempat/Khidmat masyarakat dan Program Keusahawanan.

“Ia khas untuk Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) IPGK Gaya dan juga para pelajar Pendidikan Jasmani (Tahun Tiga) yang terlibat dengan Program Pendidikan Luar.

“Sementara, program tambahan pula adalah Program Pendidikan Sekolah Rendah, Program Outreach Komuniti Setempat/ Khidmat Masyarakat dan Program Keusahawanan yang bertujuan memantapkan lagi program berkenaan,” katanya.

Kem Kepimpinan, Pendidikan Luar

Program Kem Kepimpinan memberi peluang untuk mereka praktikan tujuh budaya IPG secara optimum sepanjang program seperti seperti budaya ilmu, budaya kepimpinan, budaya kerja profesional, budaya akhlak dan moral, budaya penyayang, budaya hidup sihat dan budaya estetika.

Berbeza dengan Program Pendidikan Luar yang memberi peluang kepada pelajar Pendidikan Jasmani untuk menjalankan aktiviti perkhemahan, kemahiran alam sekitar, kembara dan ikhtiar hidup.

Pendidikan Sekolah Rendah

Turut diadakan, Program Pendidikan Sekolah Rendah di SK Tudan dengan memberi penekanan kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik melibatkan murid-murid SK Tudan dan SK Poring.

Melalui program itu, para pelatih IPGK Gaya berpeluang melibatkan diri secara langsung dalam proses PdPc dengan bimbingan para pensyarah daripada Jabatan Bahasa, Jabatan Pengajian Melayu, Jabatan Sains dan Jabatan Matematik yang dipantau semua ketua jabatan terlibat.

Selain itu, sumbangan dalam bentuk enam rak buku, 401 buku Bahasa Inggeris, 147 buku Bahasa Malaysia, 17 buku Matematik dan 14 buku Sains diberikan kepada SK Tudan.

Gerturude mendedahkan, kerjasama dua hala itu menggembleng tenaga dan kepakaran di IPGK Gaya, di samping membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Sabah.

Katanya, usaha itu berjaya mewujud serta membentuk jalinan strategik dengan pihak luar untuk menjadi landasan kecemerlangan pendidikan.

“Kerjasama pendidikan ini merupakan sumbangan IPG Kampus Gaya bagi membantu mewujud dan menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada murid dan juga komuniti, selain menggalakkan murid-murid dari kampung ini untuk melanjutkan pengajian di IPG Kampus Gaya pada masa akan datang.

“Matlamatnya adalah untuk memperkaya dan mempelbagaikan pengalaman pelajar, meningkatkan penglibatan pendidik guru dalam aktiviti komuniti, membudayakan perkongsian pintar NBOS dalam penganjuran program IPGK dan program jalinan bersama komuniti setempat,” tambahnya.

Pembelajaran Bahasa Inggeris

Jabatan Bahasa Inggeris IPGK Gaya juga mengendalikan sesi Profesional Learning Community (PLC) dengan tajuk ‘Learning Walks’ dan ‘Peer Coaching’ untuk guruguru di SK Tudan.

“Sehubungan itu, kita juga menawarkan sesi Basic Communication in English untuk pengusaha Mulberry Farm berdasarkan kepada keperluan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan para pelawat yang sering mengunjung Kampung Tudan dan Mulberry Farm.

“Kerjasama jalinan pintar diharapkan dapat meningkatkan kualiti komunikasi dalam kalangan komuniti kampung dalam usaha memantapkan sektor pelancongan di Kg Tudan,” jelasnya.

“Saya amat menghargai usaha murni IPG ini, sumbangan mereka terutama sekali pemberian bahan bacaan Bahasa Inggeris kepada murid-murid SK Tudan amat besar manfaatnya.

Program Keusahawanan

Program Keusahawanan juga diadakan untuk menambah pengetahuan para peserta dalam penghasilan produk mulberry dan mencanai idea untuk memulakan sesuatu produk sambil melawat ladang mulberry di kampung berkenaan.

Ia melibatkan aktiviti kesedaran kepentingan kesihatan, aktiviti Ababayan Pintutunan (sesi perkenalan), Sarana Keibubapaan iaitu ceramah dalam Bahasa Dusun dan gotong-royong di sekitar kawasan bersama dengan masayarakat kampung.

Paling signifikan, IPGK Gaya membina Taman Vertikal (Vertical Garden) yang merupakan solusi berdasarkan kepada tanah yang sentiasa basah akibat hujan, selain lukisan mural serta kata-kata semangat untuk memberi motivasi kepada murid-murid SK Tudan.

Impak Pengajaran Berkualiti

Kesimpulannya, kerjasama Gaya CLEO bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan dan pelancongan di Sabah yang akan memberi impak kepada pengajaran yang berkualiti, di samping melahirkan para pensyarah, guru serta pelajar yang berkeupayaan dan kompetensi tinggi di peringkat global.

Ia merupakan program pertama dianjurkan selaras dengan aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025. Sesungguhnya, program jalinan pintar bersama komuniti itu mampu membuka ruang dan peluang untuk membudayakan kesukarelawan dan keusahawanan sebagai wadah pembelajaran sepanjang hayat.

JONISTON (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama peserta Program Gaya CLEO.

PELAJAR Pendidikan Jasmani bersedia sebelum memulakan aktiviti kembara bersama penilai-penilai mereka.

PARA pelatih IPGK Gaya sedang mengendalikan PdPc untuk murid-murid SK Tudan dan SK Poring.

DATUK JONISTON BANGKUAI Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah / mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.