Perkasa Program Podium pastikan atlet dapat manfaat sewajarnya

Utusan Borneo (Sabah) - - Sukan -

SEPANG:Program Podium yang dilancarkan sejak Februari 2016 perlu diperkasa bagi memastikan atlet negara yang berada di bawah program berkenaan mendapat faedah sewajarnya.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata program di bawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) itu, jelas membantu mempertingkatkan prestasi atlet negara terutamanya jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mendapat manfaat besar menerusi bantuan sains sukan diberikan ISN.

“Daripada apa yang berlaku di Sukan Komanwel, kita melihat pencapaian atlet dan jurulatih, kita harus melihat bagaimana kita boleh perbaiki dan perkasakan program ini (Podium) untuk memastikan kita benar-benar bersedia menghadapi Sukan Asia 2018.

“Kerja-kerja cemerlang yang dilakukan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin perlu diteruskan kerana saya melihat program ini sangat baik untuk membawa (nama) Malaysia ke persada dunia,” katanya.

Mohamad Norza berkata demikian ketika ditemui pemberita setibanya dari Gold Coast, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA), di sini, awal pagi Selasa.

Berkongsi pandangan sama adalah Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How yang menyifatkan Program Podium banyak membantu atlet skuasy memantapkan persediaan mereka dalam menghadapi sesuatu kejohanan.

“Misalnya, pemain skuasy lelaki negara, Mohd Nafiizwan Adnan membuktikan bahawa Program Podium berkesan meningkatkan kecergasan dan persembahannya di pentas antarabangsa memandangkan kita mempunyai penganalisis permainan (daripada ISN).

“Jika kita percaya kepada jurulatih dan juga penganalisis permainan, anda boleh menewaskan atlet terbaik dunia dan program ini jelas berkesan untuk atlet negara,” jelas Huang yang merupakan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2018.

Program Podium merupakan program persediaan khas untuk atlet elit negara yang diselia ISN, bertujuan membantu atlet berkenaan meraih kejayaan cemerlang pada temasya sukan antarabangsa seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Sehingga Januari 2018, 146 atlet daripada 22 jenis sukan terdiri daripada 108 atlet lelaki dan 38 wanita terpilih menyertai program berkenaan.

ATLET-ATLET negara yang beraksi pada Sukan Komanwel Gold Coast selamat tiba di KLIA pada Selasa. -Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.