Perak optimis tundukkan PKNS FC

Utusan Borneo (Sabah) - - Sukan -

IPOH: Pengurus Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian optimis pasukannya mampu memadamkan kelebihan agregat dimiliki PKNS FC dalam saingan aksi suku akhir kedua Shopee Piala FA 2018 di Stadium Ipoh, 21 April ini.

Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan semangat dan ‘angin’ rata-rata pemain yang pada ketika ini berada pada tahap terbaik selepas mencipta kemenangan 2-1 ke atas PNKP FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Batu Kawan, Ahad lepas.

“Kalau kita dapat kekalkan rentak kemenangan seperti mana sebelum ini, saya rasa tiada sebab untuk kita tewas.

Kita sedar PKNS bukan calang-calang pasukan kerana memiliki pemainpemain yang bagus, namun ia bukan alasan untuk kita meneruskan kemaraan jika pemain mengikut arahan yang ditetapkan jurulatih,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Selasa.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, 7 April lepas, The Bos Gaurus tewas 1-2 kepada PKNS FC menerusi jaringan Faris Ramli dan Mohd Safee Sali manakala gol tunggal Perak disumbangkan Wander Luiz.

Mengulas mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan menentang PKNS FC, Ahmad Shahrul berkata perkara itu tertakluk di bawah bidang kuasa pengendali pasukan, Mehmet Durakovic.

“Semuanya di bawah bidang kuasa beliau dan sehingga kini apa yang diberitahu pada saya, semua pemain utama pasukan bebas daripada sebarang kecederaan,” katanya.

Selain itu, beliau yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berharap setiap pemain yang akan diturunkan nanti mempamerkan aksi penuh bertenaga bagi memburu slot ke separuh akhir.

“Apa yang penting adalah hasil daripada para pemain itu sendiri dan kita rasa ini waktu terbaik untuk kita melangkah ke separuh akhir,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.