Batshuayi tidak akan ke Rusia bersama Belgium

Utusan Borneo (Sabah) - - Sukan -

BERLIN, Jerman: Penyerang Borussia Dortmund, Michy Batshuayi, dijangka tidak dapat beraksi untuk baki musim dan juga kemungkinan di Piala Dunia 2018 bersama Belgium selepas mengalami kecederaan buku lali ketika pasukannya tewas kepada Schalke dalam aksi Bundesliga Jerman hujung minggu lepas.

“Ia berita yang tidak bagus, musim saya mungkin sudah berakhir dan saya tidak dapat bermain untuk Dortmund lagi,” kata Batshuayi, yang dipinjamkan dari kelab Chelsea pada bulan Januari lepas.

“Saya mengharapkan rakan-rakan sepasukan saya yang terbaik pada baki musim.”

Batshuayi mengalami kecederaan buku lali kiri pada lewat permainan ketika Dortmund tewas 0-2 di Schalke Ahad lepas dan meninggalkan stadium dengan tongkat topang.

Dortmund, yang mempunyai baki empat perlawanan, mengeluarkan satu kenyataan Isnin lepas dengan berkata Batshuayi “mungkin” tidak dapat beraksi sehingga akhir musim.

Bagaimanapun, kelab menambah beliau “berkemungkinan” masih dapat bermain untuk Belgium di Piala Dunia 2018 di Rusia.

Jika kekalahan Ahad lepas adalah perlawanan terakhirnya bersama Dortmund, maka ia adalah penamat mengecewakan buat Batshuayi dengan kontrak pinjaman beliau berakhir pada bulan Jun.

Beliau menjaringkan sembilan gol dari 14 perlawanan, termasuk tujuh gol dalam liga selepas tiba di Dortmund sebagai pengganti Pierre-Emerick Aubameyang, yang berpindah ke Arsenal.

Kecederaan beliau menyebabkan Dortmund kekurangan penyerang berpengalaman.

Walaupun tewas Dortmund berada di tangga keempat liga – slot kelayakan terakhir ke Liga Juara-Juara dan memiliki kelebihan empat mata dari RB Leipzig.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.