Utusan Borneo (Sabah)

De Bruyne percaya City akan terus kuasai Liga Perdana Inggeris

-

LONDON, England: Kevin De Bruyne berkata Manchester City sudah bersedia untuk menguasai Liga Perdana Inggeris untuk bertahun-tahun akan datang di bawah bimbingan Pep Guardiola.

City disahkan sebagai juara Liga Perdana Ahad lepas dengan berbaki lima perlawanan sahaja lagi selepas Manchester United tewas mengejut 0-1 kepada kelab tercorot, West Bromwich Albion.

De Bruyne, pemain tengah antarabang­sa Belgium, adalah salah seorang pemain yang menyerlah dalam kempen cemerlang City musim ini tetapi beliau tahu Guardiola menjadi dalang di sebalik kejayaan mereka.

Keutamaan City pada penutup musim nanti ialah menjamin kedudukan Guardiola, yang juga membimbing kelab memenangi kejuaraan Piala Liga Inggeris, untuk kekal lebih lama dari kontrak semasanya.

“Semua orang tahu beliau adalah salah seorang jurulatih terbaik di dunia. Untuk mencapai apa yang beliau capai dalam sukan ini adalah istimewa dan menjadi sebahagian dari kumpulan pemain yang dibimbing oleh beliau hanya dapat membantu pembanguna­n pemain,” kata De Bruyne.

“Beliau datang dua tahun yang lalu dan mengubah cara kami bermain. Ia sememangny­a mengambil masa untuk menyesuaik­an diri tetapi kami meningkat bersama dan musim ini adalah ganjaran dari semua kerja keras itu.

“Apa yang kami mahu lakukan ialah terus bermain seperti ini dan menjadi lebih kuat. Beliau adalah sebahagian daripada semua ini dan berharap ini adalah pemangkin untuk lebih banyak lagi kejuaraan di City.”

Dengan sokongan kewangan kuat dari pemilik kelab kaya raya dari Abu Dhabi, Guardiola membelanja­kan banyak wang untuk memperkuat­kan skuad dan tambahan baharu sudah diramalkan untuk musim baharu.

Tetapi De Bruyne percaya skuad semasa City sudah dibentuk dari pencapaian musim ini.

“Ia bukan kebetulan di mana pemain bertepatan di bawah masuk tahun lepas atau sebelum ini. Perasaan di kalangan skuad adalah hebat dengan pemain dengan peringkat usia yang sama,” kata beliau.

Seorang lagi pemain tengah City, Ilkay Gundogan, juga percaya asas sudah dibina dalam pasukan untuk mengekalka­n kejayaan mereka.

“Walaupun beberapa pemain kami pernah memenangi kejuaraan liga, ia adalah kejuaraan pertama kami sebagai sebuah kumpulan pemain di bawah pengurus baharu.

“Kami sudah meningkat bersama dan masih ada banyak potensi lagi. Apa yang perlu kami kekalkan ialah bekerja keras dan percaya dengan keupayaan kami untuk terus berjaya.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia