Aguero lega tidak perlu tunggu hingga hari terakhir musim sahkan kejuaraan

Utusan Borneo (Sabah) - - Sukan -

LONDON, England: Kejayaan Manchester City memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini kelihatan kurang drama seperti ketika Sergio Aguero menjaringkan gol kemenangan pada hari terakhir musim 2012 untuk muncul juara tetapi penyerang antarabangsa Argentina itu berasa lega kerana kejuaraan disahkan dengan berbaki lima perlawanan sahaja lagi. City juga memenangi kejuaraan pada hari terakhir musim 2013/2014 tetapi Aguero percaya pingat kejuaraan liga yang ketiga beliau di England adalah satu ganjaran untuk aksi terbaik beliau di City sejak tiba dari Atletico Madrid pada 2011.

“Ini adalah kali ketiga saya menang bersama City dan ia satu kelegaan kerana tidak perlu menunggu sehingga hari terakhir musim,” kata Aguero.

City bagaimanapun masih di landasan untuk mencipta rekod bagi mata dan juga gol terbanyak untuk meletakkan mereka sebaris dengan pasukan hebat dalam era Liga Perdana.

“Musim ini cukup hebat dan bola sepak kami adalah yang terbaik sejak saya berada di kelab ini.

“Ia cukup menarik untuk bermain dalam pasukan ini dan menjadi sebahagian dari apa yang telah dicapai musim ini.

“Bagi pemain seperti David Silva, Vincent Kompany dan Yaya (Toure), yang sudah lama di sini, ia adalah lebih istimewa kerana ia satu lagi kejuaraan yang kami menang bersama.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.