Drama ‘Kenyalang I’m In Love’ di tonton empat bulan lebih awal dari tayangan TV

Utusan Borneo (Sabah) - - Hiburan -

APABILA kita melalui kesusahan, pelbagai jalan diambil untuk mencari penyelesaian.

Bercuti mungkin adalah salah satu jalan terbaik bagi mendapatkan inspirasi dan mencari idea baru bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Drama baharu, ‘Kenyalang I’m In Love’ yang akan disiarkan secara eksklusif di tonton dalam format definisi tinggi (HD), menampilkan percintaan disulami dengan keindahan budaya bumi Kenyalang Sarawak.

Saksikan debaran drama menerusi tontonan keseluruhan 13 episod drama ini empat bulan lebih awal dari tayangan TV, menerusi slot saluran di tonton ‘First’.

‘Kenyalang I’m In Love’ mengisahkan AJ dan Wanda yang telah berkawan sejak di bangku sekolah lagi. Persahabatan mereka terputus apabila AJ berpindah ke kota raya.

AJ yang telah pun membina kerjaya di Kuala Lumpur walau bagaimanapun terpaksa akur diberhentikan kerja dek kerana sabotaj teman karibnya, Khairul.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga pula, pada masa yang sama AJ telah ditinggalkan kekasihnya Sutra, yang tidak sanggup lagi hidup bersama AJ.

AJ yang mengalami kemurungan telah mengambil keputusan untuk kembali ke Sarawak, tempat beliau dibesarkan dengan harapan dapat menjadi diri sendiri.

Ketika berada di Sarawak tanpa diduga, AJ telah bertemu kembali dengan Wanda yang dipaksa berkahwin dengan Wesli oleh keluarganya.

Cinta AJ dan Wanda berputik kembali, namun pelbagai konflik, dan campur tangan keluarga terpaksa mereka hadapi. Apakah AJ dan Wanda mampu menangani kemelut cinta mereka?

Menampilkan barisan bintang yang meningkat naik antaranya Hafeez Mikhail sebagai AJ dan Ain Edruce sebagai Wanda selain dibarisi Intan Najuwa, serta Anding Indrawani, saksikan keseluruhan 13 episod ‘Kenyalang I’m In Love’ di tonton ‘First’ secara eksklusif mulai 20 April, jam 12 tengah hari.

Drama bersiri yang sarat dengan emosi turut diwarnai dengan keindahan unik etnik Sarawak yang dipaparkan di dalam cerita ini.

Drama ini mampu membuatkan anda terpesona dengan keunikan kaum di Sarawak menerusi tayangan 4 bulan lebih awal dari TV.

Menurut Airin Zainul, Pengarah tonton, Pelesenan & Pembarangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, drama Kenyalang I’m In Love adalah salah satu contoh terbaik untuk menonjolkan sokongan bersama dengan 7.8 juta pelanggan keseluruhannya.

“Selain dari kandungan urban, tonton menyambut baik diversiti etnik kaum yang unik dan pelbagai di Malaysia.

“Dengan teknologi yang efektif pada abad ini, pengguna boleh menonton kesemua 13 episod ‘Kenyalang, I’m In Love’ empat bulan lebih awal dari tayangan di TV dalam format definisi tinggi (HD), eksklusif hanya di tonton,” katanya.

Kini, pengguna tonton di Malaysia boleh menikmati program TV dan rancangan kegemaran secara percuma.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.