Jangan pandang rendah pihak lawan, kata Bung
KINABATANGAN: Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak memandang rendah pihak lawan pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).
Peringatan ini dibuat oleh calon BN Parlimen Kinabatangan Dato’ Sri Bung Moktar Radin semasa membuat lawatan ke Pusatpusat Daerah Mengundi BN di sini.
Bung Moktar yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kinabatangan sejak 1999 menyifatkan pertembungan tiga penjuru di Parlimen Kinabatangan seharusnya tidak dipandang rendah oleh jentera BN.
“Jentera BN jangan terlalu yakin untuk menang sebaliknya bekerja dengan lebih gigih menambat hati pengundi di setiap kawasan,” tegasnya.
Beliau mahu semua jentera BN bekerjsama antara satu sama lain bukannya berlumbalumba atau bersaing sesama sendiri.
“Kita sepatutnya bekerjasama dari apa juga sudut dalam memastikan kemenangan calon-calon BN,” katanya.
Dalam majlis itu juga, Bung Moktar memberitahu beliau mempunyai senarai janji manifesto sendiri selain manifesto kerajaan pusat dan negeri.
“Isu kemudahan asas dan masalah rakyat akan terus jadi keutamaan untuk dikemukakan kepada kerajaan,” katanya.
Beliau sedar masih lagi banyak kemudahan asas perlu diberi keutamaan oleh kerajaan ekoran kawasan Kinabatangan ini seluas negeri Pahang.
“Agenda kita jelas, kita memperjuangkan rakyat dan memastikan pembangunan terus dinikmati secara berterusan,” katanya.
Bung Moktar berkata landskap pembangunan di Parlimen Kinabatangan telah jauh berubah berbanding lima tahun lepas.
“Pelbagai projek pembangunan kita telah selesaikan dan ini jelas membuktikan kerajaan BN benar-benar membela nasib penduduk terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau yakin rakyat di kawasan ini masih menyokong BN untuk pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat.