Berkat kerajaan stabil
Transformasi Sibu Jaya bukti pentadbiran berwawasan kerajaan negeri demi masa depan rakyat: KM
“Ini adalah berkat daripada sebuah kerajaan yang stabil dengan adanya keharmonian dari rakyat berbilang kaum yang menjamin pembangunan berterusan tanpa ada halangan, ”
DATUK PATINGGI ABANG JOHARI TUN OPENG Ketua Menteri
SIBU: Transformasi Sibu Jaya adalah lambang kejayaan pentadbiran berwawasan kerajaan negeri demi masa depan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bandar satelit itu kini menikmati pembangunan yang begitu pesat dan cukup luar biasa.
“Ini adalah berkat daripada sebuah kerajaan yang stabil dengan adanya keharmonian dari rakyat berbilang kaum yang menjamin pembangunan berterusan tanpa ada halangan,” ujarnya ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 hadirin pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sibu Jaya, pada Khamis.
Hadir sama Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi serta Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa’ee, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dudong Datuk Tiong Thai King, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lanang Kelvin Kong dan Temenggung Stanley Gramong.
Justeru, Abang Johari berkata, kedatangan beliau ke Sibu Jaya turut membawa ‘buah pembangunan’ yang amat bermakna kepada penduduk Sibu Jaya apabila mengumumkan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk pembinaan Jalan BoulevardLanang.
Katanya, jalan tersebut yang menghubungkan Sibu Jaya dan Jalan Lanang akan dibina mengikut standard R3.
“Peruntukan tersebut telah diluluskan dan ia mempunyai empat lorong.
“Jarak jalan ini adalah sepanjang enam kilometer yang memudahkan perjalanan dari Sibu Jaya ke Lanang dalam hanya 10 hingga 15 minit sahaja,” jelasnya.
Abang Johari memberitahu, jalan itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun setengah.
“Ia memerlukan masa untuk menimbus permukaan jalan oleh kementerian berkenaan sebelum melaksanakan projek ini,” jelasnya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan turut merancang untuk membangunkan sebuah dewan besar di Sibu Jaya yang akan disewa bagi kemudahan penduduk menganjurkan majlis kenduri atau perkahwinan.
“Arkitek sedang membuat reka bentuk dan kosnya masih belum kita ketahui dan juga dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan,” katanya.
Selan itu, Abang Johari memberitahu perpustakaan Sibu Jaya juga akan dilengkapi dengan alat-alat digital sejajar dengan peredaran zaman bagi memudahkan pembelajaran anak-anak.
Sebuah sekolah juga akan dibina di Sibu Jaya katanya, sambil memberitahu ia sudah dimasukkandalamRancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
“Pada tahun ini, kita mahu sebuah sekolah dibina di Sibu Jaya memandangkan populasi penduduknya yang semakin bertambah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebuah masjid yang mampu menampung 3,000 jemaah bakal dibina di Sibu Jaya dan ia masih di peringkat reka bentuk sebelum dilaksanakan.
Beliau memberi jaminan Sibu Jaya akan terus berkembang pesat selagi rakyat masih bersama BN dan memberi sokongan padu kepada Kelvin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.
Tambahnya, kerajaan mempunyai perancangan yang baik untuk masa depan penduduk Sibu Jaya, sekali gus menjadi bandar kedua selepas Sibu.