‘Black Panther’ ketepikan ‘Infinity War’ untuk pencalonan terbanyak MTV
FILEM adiwira ‘Black Panther’ mendahului dengan tujuh pencalonan bagi anugerah Filem & TV MTV, untuk memberi tumbukan ‘knockout’ kepada filem ‘blockbuster’ box-office ‘Avengers: Infinity War’.
MTV turut mengumumkan, rancangan televisyen ghaib ‘Stranger Things’ menerima enam pencalonan, termasuk pencalonan bagi lakonan terbaik untuk Millie Bobby Brown, 14, yang juga bertanding dalam kategori ciuman terbaik kegemaran peminat.
Rangkaian TV berorientasikan remaja, yang terkenal kerana rancangan anugerah yang bersikap tidak hormat, sekali lagi tidak menggunakan klasifikasi jantina, dengan menggabungkan lelaki dan wanita dalam kategori lakonan dalam langkah untuk merangkumi kesamarataan jantina.
Penyertaan lain dalam kategori ciuman terbaik termasuk babak roda Ferris antara dua pelakon Nick Robinson (Simon) dan Keiynan Lonsdale (Bram) dalam filem remaja popular ‘Love, Simon’.
Majlis anugerah MTV itu, yang akan diadakan pada Jun depan di Los Angeles, memaparkan bintang penerbitan blockbuster dan sudah membuktikan diri sebagai penawar kepada musim anugerah musim salji di Hollywood, yang memberi penghormatan kepada filem yang lebih serius. Pemenang dipilih oleh peminat yang mengundi dalam talian.
‘Black Panther’ menerima pencalonan untuk Chadwick Boseman bagi hero terbaik dan lakonan terbaik, selain Michael B. Jordan (penjahat terbaik), Letitia Wright (pencuri adegan), perlawanan terbaik bagi pertarungan antara Black Panther lakonan Boseman dengan M’Baku lakonan Winston Duke, dan filem terbaik.
‘Avengers: Infinity War’, yang menghimpunkan lebih 20 adiwira Marvel dan mencipta rekod dunia baharu untuk box office hujung minggu pembukaan, menerima hanya tiga pencalonan sahaja, termasuk pertarungan terbaik, penjahat terbaik (Thanos lakonan Josh Brolin) dan filem terbaik.
Calon filem terbaik lain termasuk ‘Wonder Woman’, filem seram ‘IT’ dan komedi ‘Girls Trip’, manakala pencalonan bagi rancangan TV terbaik diperolehi drama remaja bunuh diri ‘13 Reasons Why’, ‘Game of Thrones’, ‘Riverdale’ dan ‘grownish’.
Daisy Ridley dan Adam Driver menerima pencalonan masing-masing sebagai hero terbaik dan penjahat terbaik untuk watak mereka dalam ‘Star Wars: The Last Jedi’, walaupun pertarungan pedang cahaya mereka gagal dicalonkan untuk pertandingan bagi pertarungan terbaik.
Bintang ‘Girls Trip’ yang membuka lembaran baharu Tiffany Haddish akan mengacarakan majlis Anugerah Filem & TV MTV pada 18 Jun.