Momentum sokongan kepada Salang meningkat
SIBU: Momentum sokongan pengundi kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Joseph Salang Gandum di kerusi Parlimen Julau semakin meningkat setelah masuk hari keempat berkempen pada Khamis.
Kejutan awal serta kebimbangan terhadap cabaran yang diberikan calon Bebas Larry Sng secara perlahan-lahan berjaya ditangkis.
Salang dan penyokong berjaya menepis segala isu-isu yang dibangkitkan pihak lawan secara efektif, malah ramai tuai rumah dan anak buah mereka telah mengesahkan untuk bekerjasama serta menyatakan sokongan kepada Salang.
“Kami telah lama menyedari hanya BN yang dapat membantu kami di luar bandar untuk jangka panjang,” kata Tuai Rumah Lidam ketika berucap pada program sesi bertemu rakyat di rumah panjang beliau di Munus Ijit di sini, Rabu lalu.
Salang yang juga aetiausaha agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) adalah tetamu kehormat bagi program berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Parti Demokratik Progresif Pakan Ting Kiew Ming berkata, selagi Salang adalah calon BN, beliau akan terus memberi sokongan kepadanya.
Beliau menasihati tuai rumah dan penghulu yang diancam akan dipecat atau tidak disambung semula perkhidmatan sekiranya menyokong Salang supaya tidak perlu takut.
“Saya telah mengadu isu ini kepada Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil.
“Beliau akan datang melawat kita selepas pilihan raya untuk mengetahui lebih lanjut dan menyelesaikan perkara berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Salang semasa berucap pada kedua-dua program berkenaan berkata, pengundi mempunyai tugas mudah dalam membuat pilihan pada hari mengundi nanti.
“Sekiranya anda memilih untuk mengundi BN, anda menyokong untuk pembangunan dan kemajuan yang berterusan,” tegas beliau.