KRI Tawau undang lebih 40 potensi pembeli sertai TEI KE-33
TAWAU: Sebanyak lebih 40 potensi pembeli menghadiri Program Business Luncheon dan Preview Trade Expo Indonesia (TEI) ke-33 bertemakan Creating Products for Global Opportunities, di sini pada Jumaat.
Menurut kenyataan media Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, program itu bertujuan memperkenalkan TEI kepada pemain-pemain industri dalam sektor perniagaan di negara ini.
Kesemua potensi pembeli yang hadir pada program itu terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pantai Timur Sabah.
Program terbabit dirangka khusus sebagai pelawaan KRI Tawau kepada para peserta untuk menyertai TEI 2018 di ICE-BSD Kota Tangerang, pada 24-28 Oktober kelak.
TEI dikatakan dikatakan sentiasa menerima peningkatan hasil pemerolehan transaksi dari tahun ke tahun, misalnya pada 2017 program besar itu meraih sehingga USD$1.41 juta.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sehingga 37.36 peratus berbanding pemerolehan hasil pada 2016, serta dikunjungi kira-kira 27, 711 orang dari 117 negara di serata dunia.
Pada TEI ke-32, tiga syarikat Malaysia seperti Kara Marketing Sdn Bhd, PT.Sari Sihat Sdn Bhd dan Mega Uni Pro Sdn Bhd, sudah menandatangani persefahaman bersama (MOU).
Pelaksana Fungsi Ekonomi KRITawauNindarsariUtomo dalam kenyataan media yang sama, amat mengalu-alukan lebih banyak syarikat atau pihak dari negara ini untuk menyertai TEI.
“Pelbagai produk Indonesia berkualiti dipamerkan meliputi lapan jenis produk utama seperti kraftangan, keperluan asas hidup, produk kreatif, perkilangan, industri strategik, minuman/ makanan ringan, dan sebagainya.
“Sambutan positif yang diterima diharap dapat memberikan gambaran bahawa TEI 2018 boleh membuka peluang perniagaan antara Malaysia-Indonesia dan negara lain,” katanya.
Nindarsari berharap pertemuan yang diadakan di Tawau pada kali ini juga berupaya mewujudkan jalinan kerjasama dan mengembangkan penyertaan potensi pembeli di TEI 2018.
Hadir sama, Ketua Perwakilan KRI Tawau Sulistijo Djati Ismojo, Presiden Majlis Perbandaran Tawau Alijus Sipil, dan wakilwakil syarikat GLC, swasta dan NGO.