Tipu: Waspada individu menyamar polis
LIMBANG: Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai mengingatkan orang awam supaya menghubungi polis sekiranya dihubungi lelaki menyamar sebagai anggota polis.
Menurutnya ini bagi mengelak menjadi mangsa tipu berikutan peningkatan kes tipu sejak akhir-akhir ini membabitkan kerugian ribuan ringgit.
Beliau berkata, orang awam jangan mempercayai mana-mana individu menyamar sebagai anggota polis meminta wang bagi tujuan membebaskan ahli keluarga mereka terutama melibatkan kesalahan dadah.
“Seorang lelaki yang juga penjawat awam kerugian RM9,000 selepas ditipu seorang lelaki menyamar pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Limbang, Khamis lalu.
“Mangsa, 39, dihubungi suspek yang memperkenal diri sebagai ‘Tuan Saiful’ meminta mangsa memasukkan wang berjumlah RM9,000 bagi tujuan mengeluarkan adik mangsa kini dalam tahanan polis berhubung kes dadah,” katanya di sini pada Sabtu.
Beliau mendedahkan mangsa kemudiannya memasukkan wang diminta suspek berjumlah RM9,000 dengan pembayaran dua kali transaksi ke dalam akaun bank diberikan oleh suspek.
Bagaimanapun, setelah wang dimasukkan ke dalam akaun, suspek tidak lagi dapat menghubungi mangsa.
“Mangsa merasakan tertipu membuat laporan polis pada Jumaat,” jelasnya.
Mohd Bukhori berkata, seorang lagi wanita hampir menjadi mangsa sindiket sama turut menyamar anggota polis dan meminta wang bagi tujuan membebaskan ibu mangsa terlibat dadah.
“Suspek menggunakan modus operandi sama dengan menghubungi mangsa meminta wang bagi tujuan membebaskan ahli keluarga mereka terlibat kes dadah,” katanya.
Beliau berkata, mangsa, 22, dari perumahan rakyat berhampiran Taman Damai turut dihubungi suspek pada Khamis lalu dan meminta wang jaminan sebanyak RM5,000 untuk bayaran bagi membebaskan ibunya kini ditahan di lokap.