Cruise teruskan penggambaran M:I6 dalam kesakitan
JIKA babak ‘jalan tempang’ yang terkenal dalam filem arahan Rob Reiner ‘Misery’ membuatkan anda bersembunyi di belakang sofa, bersiap sedialah untuk menggerenyet dengan kuat ketika melihat ‘Mission: Impossible – Fallout’ – di mana Tom Cruise benarbenar patah buku lali.
Kecederaan itu telah mengancam atau menamatkan karier legenda sukan seperti Diego Maradona, Yao Ming dan Derek Jeter, tetapi Cruise yang berusia 55 tahun dengan tenang menyiapkan babak berkenaan dan kembali ke set penggambaran dalam masa enam minggu.
“Saya pernah patah kaki pada masa lalu dalam hidup saya, tetapi ia adalah sukar,” kata ikon ‘Top Gun’ itu, mungkin bintang filem paling dikenali ramai di dunia sejak empat dekad lalu, kepada AFP.
“Ia sangat susah, kerana mereka bimbang saya tidak akan dapat berlari sekurang-kurangnya sembilan lapan bulan dan saya berada di tengah-tengah. Saya ada tarikh keluaran dan tanggungjawab – saya tidak mahu berhenti membuat penggambaran.”
AFP berjumpa dengan Cruise di perhimpunan tahunan industri CinemaCon di Las Vegas, di mana dia mempromosikan filem keenam dalam francais pengintip yang lumayan itu sebelum ia dikeluarkan pada 27 Julai.
‘Mission: Impossible – Fallout’ terpaksa menghentikan penerbitan di London pada tahun lepas setelah Cruise menghempap dinding konkrit dengan kuat sekali apabila dia melompat antara bangunan ketika diikat pada kabel.
“Saya segera tahu bahawa buku lali saya patah dan saya sebenarnya tidak mahu melakukannya lagi, tetapi saya bangun sahaja dan meneruskan babak itu,” katanya selepas insiden tersebut berlaku.
Pengarah Chris McQuarrie – yang turut mengemudi filem Cruise ‘Mission: Impossible 5’ (2015) dan ‘Jack Reacher’ (2012) – berkata dia akan “menggerakkan syurga dan bumi” untuk memastikan ‘take’ keempat yang malang itu dimasukkan ke dalam filem.
Bagaimanapun hari-hari paling susah bagi Cruise berada di hadapannya, kerana dia terpaksa menghabiskan masa berjam-jam setiap hari di pusat pemulihan dan mendaki gunung di Norway apabila dia kembali untuk membuat penggambaran.
“Apabila anda melihat saya memecut dalam filem itu, saya pada asasnya melakukannya dengan kaki patah. Tetapi saya dapat sampai ke tahap fizikal di mana ia tidak menyebabkan sebarang kerosakan lagi apabila melakukan perkara itu,” kata Cruise kepada AFP.
Bintang itu, seorang veteran dengan lebih 50 filem, dikagumi kerana sikapnya yang suka mencuba sesuatu yang baharu dalam pembikinan filem, yang selama ini melibatkan beberapa waktu yang menakutkan di set penggambaran.
Segalanya bermula dengan agak tenang ketika Cruise mengumumkan diri kepada Hollywood dengan peranan kecil dalam drama romantik pada 1981 ‘Endless Love’.
Ia adalah babak yang tidak dapat dilupakan dalam ‘Risky Business’ pada 1983, di mana dia meloncat-loncat dalam baju putih dan seluar dalamnya sambil pura-pura bernyanyi menurut lagu ‘Old Time Rock and Roll’, yang mengesahkannya sebagai salah seorang pelakon paling berbakat dalam industri perfileman.
Dua penerbit legenda, Jerry Bruckheimer dan Don Simpson, memilih Cruise untuk berlakon dalam filem ‘smash-hit’ pada tahun 1985 berjudul ‘Top Gun’ sebagai juruterbang pesawat pejuang Maverick, watak yang melonjaknya ke dalam barisan pelakon elit di Tinseltown.
Dalam tempoh 33 tahun sejak itu, dia telah meletakkan diri sebagai salah seorang pemain yang paling berpengaruh dan lumayan di Hollywood, di mana filem-filemnya mengaut AS$9.3 bilion dan bakatnya menerima tiga pencalonan Oscar.
Kejayaannya di ‘box office’ termasuk filem aksi konvensional tetapi juga watak yang lebih resah, seperti filem arahan Oliver Stone ‘Born on the Fourth of July’, filem
‘Rain Man’ arahan Barry Levinson, dan filem Michael Mann ‘Collateral’.
Sindiran Dilahirkan
di New York pada 3 Julai 1962, zaman kanak-kanak pelakon itu tidak menentu selepas bapanya meninggalkan rumah mereka ketika dia berusia 11 tahun dan enggan menanggung perbelanjaan anak.
Cruise dilaporkan pergi ke 15 sekolah dalam tempoh 12 tahun.
Kejayaannya di atas skrin ditandingi keupayaan untuk menghasilkan berita utama yang kontroversi di luar skrin, kebanyakannya menerusi sokongannya yang lantang kepada Gereja
Saintologi yang mencurigakan.
Cruise juga terpaksa menerima sindiran yang konsisten mengenai seksualitinya dan pernah menyaman berhubung dakwaan bahawa dia adalah lelaki homoseksual atau perkahwinannya yang kedua dan ketiga masing-masing kepada Nicole Kidman dan Katie Holmes hanya sandiwara sahaja.
“Hampir 40 tahun. 40 tahun. Empat puluh,” kata Cruise di belakang pentas di CinemaCon mengenai lamanya dalam bisnes itu apabila AFP bertanya bagaimana dia akan menaraf francais ‘Mission: Impossible’ di kalangan pencapaian dalam kariernya.
“Ia merupakan bahagian yang amat besar dalam hidup saya. Ia adalah filem pertama yang saya pernah terbit. Saya amat suka sekali membawa watak ini, sesuatu yang kita impikan dan harap masih diinginkan oleh audiens,” ujarnya.
Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, Cruise akan mengalih perhatian kepada sekuel bagi filem fiksyen pada 2014 yang menerima sambutan hangat ‘Edge of Tomorrow’ dan projek yang paling kerap disebut-sebut oleh kebanyakan peminatnya – sekuel yang sudah lama dinanti-nantikan ‘Top Gun: Maverick’.
Pengarah Joseph Kosinski dijangka memulakan penerbitan pada musim panas ini, untuk dikeluarkan pada 2019, tetapi kepulangan kepada watak Cruise yang mungkin paling ikonik diselubungi kerahsiaan.
“Kita akan lihat sama ada ia akan diluluskan ataupun tidak. Kita akan lihat sama ada ia berlaku ataupun tidak,” usik Cruise sambil mempamerkan senyuman lebarnya yang terkenal.
“Saya akan beritahu anda tetapi saya terpaksa bunuh anda.” — AFP