Manifesto BN membawa rakyat melangkah ke hadapan
Manifesto BN membawa rakyat melangkah ke hadapan
PRU 14 kini memasuki fasa keempatnya dan sedang menuju ke puncak pilihanraya pada 9 Mei nanti. Segalanya terserah kepada rakyat untuk menentukan siapa yang mereka akan pilih untuk diberikan mandat memerintah.
Dalam tempoh berkempen ini, boleh dikatakan Barisan Nasional (BN) mendahului semua parti di Malaysia di segi persembahan dan kandungan manifesto pilihanraya.
Manifesto BN, sama ada BN Pusat mahu pun BN Negeri Sabah, diakui lebih komprehensif, inklusif dan realistik.
Ia menjanjikan perancangan yang mampu dicapai dan mampu mempertingkatkan kehidupan rakyat sekaligus menjamin kemakmuran yang berkekalan.
Manifesto yang terperinci itu membawa rakyat melangkah ke hadapan dengan memperhebatkan kemajuan, membela nasib rakyat dan mencipta kesejahteraan demi masa depan yang lebih gemilang. Segala yang terkandung di dalam manifesto BN itu sebenarnya menceritakan tentang kesinambungan perjuangan, meneruskan apa yang telah dicapai, bahkan melipat-gandakan lagi usaha dalam segala bidang pembangunan dan kehidupan rakyat ke arah merealisasikan transformasi negara.
Manifesto BN Pusat menggariskan 14 akujanji dengan 364 inisiatif; sesuatu yang luarbiasa pernah ditawarkan kepada rakyat Malaysia. Semuanya menjurus kepada mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara. Manakala manifesto BN Sabah menekankan 20 perkara yang merangkumi jaminan ke atas hak-hak Sabah dalam Malaysia, pembangunan sosioekonomi, memperkasakan hak-hak keagamaan, pembangunan sumber manusia, wanita dan belia, menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan keselamatan, hakhak pemilikan tanah dan perlindungan alam sekitar.
Manifesto pembangkang pula lebih kepada berjanji dan bercita-cita” untuk melakukan pembaharuan. Secara tidak langsung, pembangkang menidakkan apa yang telah dirancang atau dijayakan oleh Kerajaan BN, tetapi “berjanji” untuk melakukan yang lebih baik daripada apa yang telah dicapai oleh Barisan Nasional.
Ternyata manifesto pembangkang lebih kepada sebuah pernyataan terbuka atau sekadar sebuah janji berbanding “sebuah perancangan pembangunan untuk masa hadapan” sebagaimana yang ditawarkan oleh Barisan Nasional.
Secara keseluruhan, matlamat parti-parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14) ini hanyalah untuk menjatuhkan BN.
Dalam proses itu, mereka melaung-laungkan perkataan ubah dan tukar dan kalau diperhati di dalam media sosial, berbagai istilah yang bukan-bukan digunakan tanda terdesaknya mereka untuk menumbangkan kerajaan.
Tetapi apa perlunya menukar kerajaan jika selama ini pun kerajaan bukan sahaja telah berfungsi dengan begitu baik, malah kini sudah bercakap mengenai Transformasi Nasional atau TN50; wawasan memajukan negara menjelang tahun 2050! Bukankah agenda Transformasi Nasional itu lebih besar dan bermakna berbanding perubahan yang dilaung-laungkan oleh Pembangkang? Justeru, Kerajaan BN tidak pernah gagal dalam usahanya membangunkan negara sesuai dengan keperluan masakini serta untuk generasi yang akan datang.
Maka wajar diingat, sesuatu perubahan atau pertukaran; daripada yang lama kepada yang baharu, terutama dalam memilih kerajaan, tidak semestinya yang baharu itu adalah baik.
Istilah ubah dan tukar yang digembar-gemburkan oleh pembangkang adalah retorik semata-mata; ia mungkin mampu mengipas semangat para pengikut dan penyokongnya, tetapi perubahan dan pertukaran yang sedang mereka perjuangkan itu bukan suatu jaminan bahawa rakyat akan mendapat sebuah kerajaan yang jauh lebih baik atau lebih hebat berbanding dengan Kerajaan Barisan Nasional.
Rakyat perlu berfikir secara rasional dengan minda yang terbuka. Rakyat perlu mengelak daripada segala dakyah yang memperdaya. Rakyat juga harus membuat keputusan berdasarkan pertimbangan dan perhitungan demi masa depan bukan berdasarkan rasa amarah atau kecewa.
Dalam memasuki fasa ke-4 PRU14 ini, kita berhadapan dengan satu fenomena menarik iaitu fenomena perang mulut, perang bendera, perang poster dan tentu sekali yang paling panas, perang media baharu atau perang media sosial.
Ramai mengatakan bahwa PRU14 ini adalah PRU yang paling sukar dan mencabar. Pada saya, cabaran yang wujud itu bukan disebabkan hebatnya parti-parti yang menentang kerajaan, tetapi kerana wujudnya media baharu atau media sosial; medium komunikasi era masakini yang mempunyai pengaruh sangat kuat dalam masyarakat.
Medium inilah yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan netizen, lebih-lebih lagi orang-orang dan parti-parti politik yang ingin menyebarluas kempen mereka. Ini termasuklah mendekati pengundi secara personal, dan tidak kurang juga yang menggunakannya dengan niat untuk menghasut dan memfitnah.
Sebagai parti yang memerintah di peringkat Persekutuan dan negeri Sabah, BN berhadapan dengan parti-parti lawan yang antaranya wujud bagai cendawan selepas hujan dan yang masing-masing dahagakan kuasa untuk memerintah.
Apa pun, bagi pembangkang, untuk memenangi hati pengundi, selain mempamer janji manifesto, berbagai cara akan diguna, di samping memanipulasi apa juga perkara untuk dijadikan isu bagi menumpaskan kerajaan.
Dari perkara yang remeh-temeh kepada halhal yang besar akan terus mereka selongkar; tidak kira sama ada perkara itu benar atau pun tidak, yang penting rakyat jelata perlu diperdaya dan hati pengundi perlu ditawan.
Pembangkang akan tetap dengan propaganda mereka; menjaja dan mensensasikan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Kononnya GST membebankan rakyat, maka mereka pun berhasrat untuk memansuhkannya jika mereka memerintah.
Cadangan itu sudah pasti mendapat sokongan daripada konco-konco pembangkang, tetapi hakikatnya janji manis sedemikian sukar dilaksanakan.
Jikalau majoriti negara di dunia (160 buah negara) telah menerima pakai sistem cukai GST, apa alasan kukuh pembangkang untuk menolak keberkesanan sistem ini? Malaysia antara negara paling lewat menggunapakai sistem GST, itu pun hanya 6%, berbanding 7% di Singapura, 10% di Indonesia dan 12% di Filipina; mengambil contoh negara-negara tetangga dalam ASEAN. China, sebagai gergasi ekonomi dunia mengenakan cukai GST sebanyak 17%. Kalau di Eropah pula, kadar GST lebih melambung tinggi. Di Jerman 19%, Perancis 19.6%, manakala United Kingdom 20% dan Denmark 25%.
Masalah dengan pembangkang, mereka hanya melaunglaungkan pemansuhan GST, mensensasi dan memutarbelit fakta tetapi tidak menghuraikan kepentingan dan kebaikan GST kepada rakyat. There is always two sides of a coin. You cannot just look at one side while ignoring the other.
Wang yang dikutip daripada GST adalah untuk faedah rakyat dan pembangunan negara.
Sistem cukai GST adalah cukai yang telus, cukai yang wajib bayar tanpa boleh berdolak-dalik atau cuba lari daripadanya, khususnya di kalangan peniaga, syarikat-syarikat korporat dan juga konglomerat.
Kutipan daripada cukai GST jauh lebih besar jumlahnya berbanding kutipan cukai yang diguna pakai dahulu, SST; kerana di dalam sistem SST, terdapat ketirisan, lopanglopang dan kelemahan yang memungkinkan pihak-pihak tertentu lari atau mengelak diri dari membayar cukai.
Jika 160 buah negara telah menggunapakai dan memperakui keberkesanan sistem percukaian GST, mengapa pihak pembangkang masih mengatakan sistem itu merugikan rakyat? Ironinya, mereka yang berkata demikian adalah mereka yang dahulu berada dalam kerajaan dan menyokong GST! Tetapi apabila menyertai kem pembangkang mereka ubah pendirian, membuat U-turn dan membantahnya pula. Sifat begini adalah seperti talam dua muka.
Pada tahun pertama ia dilaksanakan, GST berjaya mengutip RM41.21 bilion daripada pembayar cukai, manakala jumlah kutipan di tahun berikutnya meningkat kepada RM44.29 bilion. Dibandingkan dengan sistem cukai SST pada masa lalu, purata kutipan cukai melalui SST hanyalah dalam lingkungan RM16 bilion ke RM18 bilion setahun.
Kutipan inilah yang digunakan oleh kerajaan untuk membiayai pelbagai projek pembangunan serta pembayaran pelbagai program kebajikan rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan (pembelian buku dan sebagainya), pembayaran sebahagian daripada kos pengajian di institusi pengajian tinggi awam, pembayaran subsidi barangan keperluan harian dan berbagai-bagai lagi kos yang ditanggung oleh kerajaan.
********* BERSAMBUNG di B4
“Istilah ubah dan tukar yang digembar-gemburkan oleh pembangkang adalah retorik semata-mata, ia mungkin mampu mengipas semangat para pengikut dan penyokongnya, tetapi perubahan dan pertukaran yang sedang mereka perjuangkan itu bukan suatu jaminan bahawa rakyat akan mendapat sebuah kerajaan yang jauh lebih baik atau lebih hebat berbanding dengan Kerajaan ” Barisan Nasional.