800 sertai Kejohanan Taekwondo Piala MBV-Politeknik Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Seramai 800 peserta seluruh negeri Sabah bakal beradu tenaga di Kejohanan 1st MBV-Polytechnic Kota Kinabalu Cup Taekwondo Invitational 2018 yang akan diadakan di kampus Politeknik Kota Kinabalu pada 11-13 Mei ini.
Penolong Pengerusi Penganjur Kejohanan Saril Haji Yusop berkata, kejohanan julung kali diadakan itu adalah anjuran bersama Kelab Taekwondo Master Barry Voon Sabah (MBVTC) dan Politeknik Kota Kinabalu, di mana beberapa kategori akan dipertandingkan di bawah dua disiplin utama iaitu Poomsae dan Kyorugi.
“Bagi kejohanan sulung ini, enam kategori akan dipertandingkan di bawah disiplin Poomsae dan lima kategori bagi disiplin Kyorugi, masing-masing mengikut kategori umur yang telah ditetapkan.
“Untuk disiplin Poomsae kategori yang dipertandingkan adalah Novice (6-8 tahun), Super Cadet (9-11 tahun), Cadet (12-14 tahun), Junior (15-17 tahun), Senior 1 (18-30 tahun) dan Senior 2 (31 tahun ke atas) manakala bagi Kyorugi, kategori pertandingan adalah sama kecuali kategori kelima adalah kategori Open untuk 18 tahun ke atas,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Zainab Othman berkata, program itu adalah landasan terbaik bagi mencungkil serta memupuk bakat dan potensi diri para peserta dalam sukan taekwondo khususnya di negeri ini.
“Kejohanan ini adalah platform terbaik bagi mendedahkan sukan ini kepada masyarakat Sabah khususnya kanak-kanak seawal 6 tahun, di samping dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai potensi serta harapan untuk diketengahkan bagi mewakili negeri Sabah ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
“Melalui kejohanan itu juga, dapat membantu Politeknik Kota Kinabalu untuk melaksanakan pencarian bakat bagi mencungkil atlet berbakat dan seterusnya dapat diserap untuk melanjutkan pengajian tinggi di Politeknik Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kejohanan itu di sini pada Khamis.
Menurut Zainab, Politeknik Kota Kinabalu amat berbesar hati dengan kerjasama yang terjalin dengan Kelab MBV dan kejohanan itu merupakan langkah pertama bagi usahasama berterusan akan datang.
“Kita juga bertuah kerana mendapat khidmat daripada Jurulatih Kebangsaan Sea Games 2017, Rusfredy Petrus yang juga setiausaha kejohanan ini, selaku tenaga pengajar sukan taekwondo untuk komuniti Politeknik Kota Kinabalu sejak tahun 2015 lagi.
“Kita menghargai kerjasama dan komitmen daripada Coach Rusfredy dan Kelab MBV, dan diharap ia akan berterusan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Kejohanan tiga hari itu akan bermula dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang. Majlis perasmian akan disempurnakan pada 13 Mei oleh Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia merangkap Timbalan Presiden Taekwondo Malaysia Dato’ Mohd Nazifuddin Najib.
Orang ramai adalah dijemput hadir bagi memeriahkan dan memberi sokongan kepada para atlet yang menyertai kejohanan julung kali diadakan ini.