Utusan Borneo (Sabah)

Kadazan dan Cina wajar bersatu undi calon BN Kapayan

- Oleh JOHN TAMBUNAN

PENAMPANG: Lapan pemimpin Kadazan terdiri ketua kampung dan pengerusi JKKK menyeru masyarakat itu untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Kapayan Datuk Francis Goh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mereka juga mengajak masyarakat Cina di kawasan itu untuk mengundi Francis yang telah banyak menabur jasa sejak menjadi ketua bahagian MCA Kapayan empat tahun lalu.

“Kita (Kadazan dan Cina) adalah rakan sejati, oleh itu kita hendaklah berganding bahu untuk mengundi Francis dan menjadikan beliau sebagai wakil rakyat Kapayan agar beliau dapat meneruskan perkhidmat­an murni kepada rakyat dan membangunk­an kawasan ke tahap yang lebih cemerlang,” kata Ketua Kampung Koidupan James Muhamad.

Lapan ketua kampung dan pengerusi JKKK berkenaan adalah dari Kg Hungab, Kg Tunoh, Kg Koidupan, Kg Nagasiba, Kg Nosoob, Kg Kobusak, Kg Kapayan dan Kg Peringatan, yang tampil untuk mengadakan sidang akhbar di sini pada Isnin.

James berkata, kegagalan Parti DAP untuk membantu rakyat Kapayan sejak dipilih menerajui kawasan itu perlu dijadikan iktibar oleh masyarakat Kadazan dan Cina.

“Bagi kami (Kadazan), kami sudah insaf kerana menyedari bahawa DAP tidak dapat membantu rakyat di Kapayan.

“Apa lagi Kapayan, sedangkan Lim Guan Eng di Pulau Pinang pun tidak dapat membantu masyarakat Cina yang telah mengundi dan memberi kemenangan kepadanya. Dia hanya bantu orang Melayu sahaja.

“Justeru, kali ini masyarakat Kadazan dan Cina mesti bersatu hati untuk memberi kemenangan kepada Francis bagi membolehka­n beliau meneruskan khidmat murni beliau di Kapayan,” katanya.

Ketua Kampung Kobusak Michael Boijut berkata, Francis sewajarnya diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat Kapayan kerana beliau telah menunjukka­n komitmenny­a dalam membantu rakyat di kawasan itu.

“Beliau seorang yang peramah, mudah didekati dan rajin turun padang, dan selama empat tahun ini beliaulah yang berkhidmat di seluruh lapan kampung di DUN Kapayan,” katanya.

Katanya ia tidak sama berbanding Dr Edwin Bosi daripada DAP yang gagal memberi khidmat setelah dipilih menjadi wakil rakyat pada PRU13.

“Namun, kita bernasib baik mempunyai seorang pemimpin yang wujud pada masa itu, iaitu Francis yang selalu memberi bantuan serta mendapatka­n dana dan peruntukan daripada kerajaan melalui hubungan baik beliau dengan para menteri Kabinet,” katanya.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia