Utusan Borneo (Sabah)

TEKUN Nasional Terengganu salur RM7 juta pinjaman pada suku pertama 2018

-

KEMAMAN:Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) menyalurka­n pinjaman sebanyak RM7 juta kepada 258 usahawan di Terengganu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Baharom Embi berkata jumlah itu adalah 0.73 peratus daripada sasaran untuk memberi pinjaman kepada 35,000 usahawan mikro di seluruh negara dengan jumlah peruntukan sebanyak RM500 juta pada tahun ini.

“Jadi, saya jangkakan kami akan membantu lebih ramai lagi usahawan di Terengganu kerana masih ada tempoh sembilan bulan bagi tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis ramah mesra Usahawan TEKUN di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik di sini pada Isnin.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Baharom berkata kebanyakan peminjam TEKUN adalah wanita dan pada tahun ini, agensi itu telah memperuntu­kkan sebanyak 50 peratus daripada dana untuk usahawan wanita selaras dengan 2018 diumumkan sebagai tahun memperkasa­kan wanita.

“Kita dapati wanita di TEKUN ini memang berjaya berbanding lelaki, kerana saya rasa mereka ini mempunyai semangat yang kental untuk mendapatka­n kejayaan dalam sesuatu yang mereka ceburi. Lelaki juga sama namun kadang kala lelaki mempunyai komitmen yang banyak yang perlu ditumpukan berbanding wanita.

“Saya minta kepada wanita yang masih lagi belum menjalanka­n perniagaan dan hendak menjalanka­n perniagaan datanglah ke mana-mana cawangan TEKUN dan kita akan membantu,” katanya.

Sementara itu, Rohani Awang, 51, yang telah menceburi bidang keusahawan­an membuat keropok lekor dan keropok keping hampir 20 tahun berkata beliau sudah lapan kali membuat pinjaman dengan TEKUN sejak 1998 sehingga kini.

“Pada awalnya saya takut nak buat pinjaman dengan TEKUN kerana risau dengan pendapatan RM50 hingga RM100 sehari, saya tidak dapat membuat bayaran bulanan.

“Namun galakkan daripada rakan-rakan yang ingin melihat saya meluaskan perniagaan menyebabka­n saya tekad mencuba membuat pinjaman TEKUN sebanyak RM4,000 pada awalnya untuk dijadikan sebagai modal dan sehingga hari ini saya tidak risau lagi untuk terus membuat pinjaman TEKUN buat kali ke lapan dengan nilai RM100,000,” katanya.

Bagi Miss Fadila Tuyong, 25, yang baru menceburi perniagaan secara dalam talian menggunaka­n pinjaman TEKUN, kini boleh menyediaka­n stok barangan lebih banyak berbanding sebelum ini.

“Jika sebelum ini saya terpaksa menghadkan permintaan daripada pelanggan terhadap produk kosmetik dan barangan kecantikan kerana kekurangan modal untuk menyimpan stok yang banyak, namun dengan adanya pinjaman ini saya dapat mengambil stok yang lebih banyak dan mungkin perniagaan saya dapat diluaskan lagi pada masa akan datang,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia