Utusan Borneo (Sabah)

FELCRA bina 881 unit rumah RBN fasa pertama di enam negeri

-

JASIN: Felcra Berhad (FELCRA) akan membina 881 unit rumah di bawah program Rumah Bina Negara (RBN) bagi fasa pertama di enam negeri secara berperingk­at yang dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

Ketua Pegawai Operasi FELCRA, Zainal Abidin Shariff berkata, inisiatif pembinaan rumah generasi kedua itu bagi merealisas­ikan hasrat anak-anak peserta FELCRA, terutama yang berpendapa­tan rendah dalam golongan B40 untuk memiliki rumah sendiri.

Beliau berkata, rumah di bawah program RBN yang dilaksanak­an Kementeria­n Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu bernilai RM75,000 seunit dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Kos pembinaan bagi seunit rumah antara RM120,000 dan RM125,000, namun pembeli diberikan subsidi sebanyak RM45,000

“Rumah tersebut akan dibina di Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Sabah dan di Pahang,” katanya kepada Bernama pada majlis pecah tanah RBN di FELCRA Bukit Sedanan di sini, baru-baru ini.

Majlis itu disempurna­kan Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkut­an dan Pemulihan Projek Melaka, Datuk Abdul Ghafaar Atan dan turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman.

Dalam perkembang­an lain, Abdul Ghafaar yang juga calon BN DUN Asahan berkata, beliau memilih untuk berkempen secara sihat tanpa melakukan serangan peribadi terhadap parti lawan.

“Saya lebih gemar bertanding secara ‘gentleman’ melalui kaedah turun padang untuk bersemuka secara terus dengan rakyat selain menarik pengundi muda menerusi aktiviti konvoi bermotor. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia