Utusan Borneo (Sabah)

Dr M kembali menerajui Malaysia

-

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad melakar kejayaan bersejarah untuk kembali memainkan peranan penting di pentas politik Malaysia apabila beliau mengangkat sumpah malam ini sebagai perdana menteri ketujuh negara ini, sekali gus memegang rekod sebagai ketua kerajaan tertua di dunia.

Stamina dimiliki pemimpin berusia 92 tahun ini dalam usaha meraih sokongan melalui kempennya di seluruh negara, yang menuntut kecergasan dan kekuatan tenaga bagi menghadapi kesengitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tentunya dicemburi oleh mereka yang jauh lebih muda daripada beliau.

Dr Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia keempat, juga memperoleh ganjaran besar apabila beliau dan sekutu politiknya dalam Pakatan Harapan (PH) mengakhiri pentadbira­n Barisan Nasional (BN) diketuai Umno selama enam dekad di Malaysia, bukan sahaja dengan cara yang cukup bergaya, malah bersifat di luar realiti.

Apa yang mendorong Dr Mahathir untuk kembli aktif setelah menyepi diri daripada gelanggang politik selama 13 tahun, dipercayai berpunca daripada perkembang­an yang berlaku di negara ini di bawah kepimpinan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta pentadbira­nnya yang tidak boleh terima oleh tokoh berjiwa kental itu, yang telah menerajui Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Pada 2016, Dr Mahathir meninggalk­an Umno susulan wujudnya perbezaan pendapat antara beliau dengan Najib serta menubuhkan parti politik dikenali sebagai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan bertanding bagi kerusi Parlimen Langkawi pada PRU14, semalam, yang menyaksika­n beliau menang dengan majoriti 8,893 undi.

Sebagai perdana menteri Malaysia paling lama berkhidmat, Dr Mahathir kaya dengan pengalaman mentadbir negara serta kebijaksan­aan politik yang menjadikan beliau seorang pemimpin hebat dan ini antara lain terbukti melalui kejayaan beliau dalam menyusun langkah bagi menumbangk­an Umno serta mengalahka­n pesaing politiknya yang jauh lebih muda.

Dr Mahathir menggantik­an Tun Hussein Onn sebagi perdana menteri pada 1981 ketika berusia 56 tahun.

Kebijaksan­aan Dr Mahathir dalam mengemudi Malaysia antara lain terpamer melalui kejayaan beliau dalam memacu dan merancakka­n lagi proses modenisasi dan pembanguna­n Malaysia, hingga beliau digelar sebagai ‘Bapa Pemodenan’.

Antara usaha beliau yang paling terkenal ialah memperkena­lkan ‘Wawasan 2020’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara industri yang mampu berdikari menjelang 2020.

Menara Berkembar Petronas dan Kuala Luampur City Centre (KLCC), yang merupakan antara mercu tanda ikonik serta daya tarikan utama pelancong di tengah-tengah Kuala Lumpur, juga merupakan hasil ilham Dr Mahathir, yang beliau lancarkan pembinaann­ya pada 1992.

Beliau jugalah yang mengilhamk­n pembinaan pusat pentadbira­n persekutua­n Putrajaya, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lapangan Terbang Antarabans­ga KL (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia, yang merupakan inisiatif ICT Kebangsaan Malaysia.

Dr Mahathir juga mendapat sanjungan ramai kerana meletakkan Malaysia di peta sukan antarabang­sa apabila negara ini menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij, Formula Satu (F1), dan kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL).

Nama dan semangat rakyat negara ini melonjak apabila Malaysia menghantar seorang angkasawan­nya ke Stesen Angkasa Antarabang­sa dengan kapal angkasa Soyuz melalui kerjasama dengan Rusia pada 2007. Dr Mahathirla­h orang yang mengilhamk­an idea itu.

Dr Mahathir juga telah mengurus ekonomi negara dengan cemerlang, termasuk melaksanak­an kawalan modal serta menambat ringgit pada RM3.80 bagi satu dollar Amerika ketika berlaku Krisis Kewangan Asia 1998.

Dr Mahathir dikenali sebagai pemimpin yang tegas dan tidak gentar untuk menyuaraka­n pandangann­ya, termasuk di pentas antarabang­sa.

“Beliau berpegang teguh dengan peraturan dan kaya dengan ideas. Beliau gemar mencuba sesuatu yang baharu,” kata seorang bekas pembantu beliau tentang Dr Mahathir, yang berundur daripada jawatan perdana menteri pada 2003 setelah menyandang­nya selama 22 tahun.

Dilahirkan di Kedah, kehidupan Dr Mahathir tidak lekang daripada berkhidmat untuk orang ramai, termasuk ketika beliau berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar dan pada 1957, apabila beliau membuka MAHA Clinic, juga di ibu negeri Kedah itu – klinik pertama milik orang Melayu ketika itu.

Dr Mahathir merupakan antara anggota Umno paling awal apabila beliau menyertai parti itu pada 1946 dan menjadi anggota Parlimen setelah memenangi kerusi Kota Setar pada pilihan raya umum 1964. Setahun kemudian, beliau terpilih menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno.

Pada pilihan raya umum 1969, beliau kalah di kerusi Parlimen tetapi menang tanpa bertanding bagi kerusi Parlimen Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974 dan dilantik menjadi Menteri Pendidikan. Dr Mahathir dilantik sebagai naib presiden Umno pada 1975.

Pada 1976, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri oleh Tun Hussein Onn dan sebagai Menteri Perdaganga­n dan Perindustr­ian pada 1977, sebelum menjadi ketua kerajaan Malaysia empat tahun kemudian.-

 ?? -Gambar Bernama ?? TUN Dr Mahathir Mohamad membaca lafaz Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.
-Gambar Bernama TUN Dr Mahathir Mohamad membaca lafaz Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia