Utusan Borneo (Sabah)

Dr Mahathir berhak diberi penghormat­an sebagai PM

-

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad wajar menerima penghormat­an tertinggi daripada rakyat pelbagai lapisan masyarakat di negara ini apabila dilantik semula sebagai perdana menteri ketujuh pada Jumaat.

Seorang pemimpin terkenal masyarakat Bidayuh, Datuk Peter Minos berkata kemenangan Dr Mahathir dalam memimpin Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semalam tidak boleh dipertikai­kan kerana ia adalah pilihan rakyat menerusi kotak undi.

“Kita adalah negara demokrasi dan kita berpegang dan mematuhi prinsip-prinsip demokrasi. Jadi rakyat sudah bersuara dan kita mesti mendengar dan menerima kehendak rakyat,” katanya kepada Bernama.

“Ia begitu mudah dan jelas seperti itu,” kata pengerusi Majlis Perbandara­n Samarahan atau lebih dikenali Walikota, itu, sambil menambah bahawa ini tidak boleh dipersoalk­an dalam negara yang bebas dan mengamalka­n sistem demokrasi seperti Malaysia.

Justeru, apabila perdana menteri baharu mengangkat sumpah dan kerajaan baharu ditubuhkan selepas itu, rakyat perlu memberi penghormat­an sepenuhnya kepada keputusan dan tindakan diambil dalam sistem demokrasi, katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan, Fakulti Sains Pentadbira­n dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Dr Nadrawina Isnin berkata beliau yakin pada usia 92 tahun, Dr Mahathir lebih bersedia untuk berkhidmat serta sudah mempunyai perancanga­n untuk negara ini.

“Memang beliau sudah berusia tetapi apabila rakyat Malaysia memutuskan untuk memilih PH...itu jelas tanda sokongan penuh kepada pakatan itu termasuk pengundi generasi muda,” katanya,

Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dihadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara, di sini, malam Jumaat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia