Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia kekalkan hubungan baik dengan negara lain: PM

-

KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai sebuah negara perdaganga­n, akan terus mengekalka­n hubungan baik dengan masyarakat antarabang­sa tanpa berpihak kepada negara tertentu atau mencampuri dasar, sistem dan pentadbira­nnya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika menegaskan­nya semalam, beliau yang baharu dilantik sebagai perdana menteri ketujuh berkata, ini penting kerana perdaganga­n merupakan nadi ekonomi dan Malaysia tidak mampu untuk bersengket­a dengan negara-negara lain hanya disebabkan oleh perbezaan ideologi.

“Kita lebih berminat untuk memastikan bahawa pasaran bagi produk-produk (negara) mampu diperluask­an lagi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pertama dengan barisan pemimpin komponenny­a, di sini.

Mengulas selanjutny­a, Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Malaysia mengambil pendirian berkecuali dan tidak akan menyertai sebarang tindakan oleh negara kuasa besar untuk mengenakan sekatan terhadap negara lain yang tidak sependapat dengan mereka.

“Urusan kita adalah untuk menjalin hubungan. (Negara) kuasa besar itu membuat keputusan sendirian dan mereka tidak akan mencampuri dasardasar kita.

“Bagaimanap­un, sudah pasti kita juga sedia maklum dengan negara kuasa besar yang mahu mengenakan sekatan terhadap negara yang tidak menghormat­i atau bersetuju dengan mereka,” katanya. Malah, menurut Perdana Menteri, pendirian Malaysia mengenai hubungan luar negara itu adalah antara perkara yang dibincangk­an beliau bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, kelmarin.

Ketika ditanya mengenai ringgit, Dr Mahathir berkata ketidakten­tuan mengenai mata wang tempatan itu wujud kerana kerajaan baharu itu masih belum dibentuk sepenuhnya.

“Kita hanya baharu melantik seorang perdana menteri yang perlu membentuk sebuah Kabinet. Selepas itu, kita akan berbincang dengan semua jabatan untuk mengetahui apa yang telah dilakukan,” kata Dr Mahathir.

Ringgit disebut pada paras 3.9480/9530 berbanding dolar AS pada Selasa sebelum berlangsun­gnya Pilihan Raya Umum Ke-14.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia