Najib lepaskan jawatan Presiden Umno, Pengerusi BN
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta susulan prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) barubaru ini.
Beliau mengumumkan demikian pada sidang berita selepas mesyuarat Biro Politik Umno di ibu pejabat parti di Menara Dato Onn di sini.
“Mengambil kira keadaan semasa...dan memandangkan Umno dan BN telah mengalami kekalahan yang amat berat (dalam PRU14), maka saya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN mengambil keputusan meletakkan (kedua-dua) jawatan itu sertamerta.
“Ini adalah kerana mengikut prinsip, sesiapa yang menjadi ketua sesebuah parti dan parti itu gagal dalam pilihan raya, maka tanggungjawab moral mestilah diterima sepenuhnya oleh orang berkenaan,” katanya.
Najib berkata Biro Politik itu juga bersetuju supaya Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugas-tugas Presiden Umno manakala Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, juga Naib Presiden Umno, menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN.
Beliau turut memberi jaminan tidak akan meninggalkan parti itu.
PRU14 menyaksikan penguasaan 60 tahun BN di persada pemerintahan negara berakhir apabila hanya menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen.
BN turut hilang kuasa di Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak dan Sabah.