Utusan Borneo (Sabah)

Kenyataan Rafizi tidak mewakili PKR

-

KUALA LUMPUR: Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengenai pelantikan tiga portfolio kanan dalam Kabinet kerajaan yang belum dimuktamad­kan dan masih dalam perbincang­an itu adalah pandangan peribadi sematamata.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pendirian parti adalah sama dengan kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerajui kerajaan baharu Persekutua­n.

“Itu pandangan dia (Rafizi) kita harus menghormat­inya, tapi pada akhirnya dalam jemaah ini melihat kepada keputusan parti dan keputusan rasmi itu telah dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“...dan saya yakin proses ini akan berjalan dengan baik, cukup kondusif dan kita mahu ia mestilah memenuhi aspirasi rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat Parlimen Gombak di Dataran Greendwood, di sini, Ahad.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari, ADUN Gombak Setia, Hilman Idham dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Sabtu lepas, Rafizi menerusi laman rasminya Rafiziraml­i. com berkata perbincang­an rundingan jemaah menteri termasuk tiga portfolio kanan dalam kerajaan iaitu Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan masih berjalan dan belum dimuktamad­kan.

Rafizi berkata ia susulan ketiadaan wakil PKR di dalam mesyuarat dan semasa pengumuman pelantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan itu.

Mohamed Azmi, yang juga Menteri Besar Selangor, berkata parti itu akan meneruskan perbincang­an dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengenai senarai penuh anggota Kabinet kerajaan. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia