Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki terlibat kemalangan meninggal dunia ketika dirawat di hospital

-

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang van dipandunya dirempuh sebuah bas ekspres di persimpang­an Jalan Salleh, dekat Muar pagi Ahad, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata bas ekspres itu dipercayai tidak berhenti semasa lampu isyarat berwarna merah dari arah Bandar Muar menghala ke Bukit Pasir di lampu isyarat persimpang­an Jalan Salleh, dekat Muar.

Beliau berkata kemalangan yang berlaku pada pukul 10.15 pagi itu juga mengakibat­kan bas berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke arah laluan bertentang­an dan merempuh lapan buah kenderaan lagi yang sedang menunggu isyarat lampu hijau.

“Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai How Seow San, 53, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar. Kejadian juga mengakibat­kan seorang pemandu lori, Mohd Shahidan Hamir Han cedera parah di bahagian kaki kiri dan kanan dan kini sedang dirawat di hospital yang sama.

Pemandu bas yang tidak mengalami sebarang kecederaan merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun dan kini sedang ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Kenderaan lain yang terlibat dalam kejadian berkenaan adalah enam kereta dan dua lori serta tiada kecederaan lain dilaporkan.

Katanya hasil pemeriksaa­n polis di lokasi kemalangan mendapati ia adalah jalan persimpang­an berlampu isyarat dan semasa kejadian lampu isyarat berfungsi dengan baik.

“Ketika kejadian, jalan raya tidak sibuk dan cuaca pada ketika itu adalah baik,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia