Utusan Borneo (Sabah)

Majlis akan tangani masalah ekonomi: Daim

Pelabur bimbang implikasi terhadap ringgit dan pasaran saham susulan kemenangan mengejut PH

-

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang juga antara lima pakar Majlis Penasihat Kerajaan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), memberi jaminan kepada para pelabur dan pengurus dana bahawa pihaknya akan menangani semua masalah yang menjejaska­n ekonomi selain tidak berhasrat menambah hutang negara.

“Tiada sebab lagi untuk meletakkan ekonomi dalam keadaan yang lebih buruk,” katanya kepada Bernama selepas mempengeru­sikan mesyuarat bersama barisan pakar lain yang menganggot­ai majlis itu di sini, malam kelmarin.

Daim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbanga­n pelabur berhubung implikasi terhadap ringgit dan pasaran saham susulan kemenangan mengejut PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksika­n kekalahan kerajaan terdahulu pimpinan Barisan Nasional.

Jelas beliau, antara kebimbanga­n pelabur adalah cadangan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmat­an (GST) yang disifatkan mereka berkemungk­inan besar memberi impak terhadap hasil kerajaan selain turut meningkatk­an defisit fiskal.

“Kita tidak akan menambah hutang lagi. Kita bukannya bodoh. Ini lebih menjurus kepada spekulasi dan hanya mencetuska­n kebimbanga­n yang tidak wajar sedangkan (apa yang berlaku) merupakan reaksi biasa apabila kerajaan baharu mengambil alih tampuk pemerintah­an,” katanya.

Daim turut memberi jaminan bahawa majlis itu mempunyai sekumpulan pakar yang mampu menangani isu terbabit.

“Selama 57 tahun GST ini tidak wujud pun dan tidak ada masalah yang timbul,” katanya.

Malah, tegas beliau, apa yang lebih penting adalah untuk menghapusk­an amalan rasuah.

Sementara itu, anggota lain majlis yang turut hadir hadir pada mesyuarat itu adalah bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican dan ahli ekonomi terkemuka, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

Ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Robert Kuok bagaimanap­un, tidak hadir kerana berada di luar negara.

Penubuhan majlis itu diumumkan oleh Perdana Menteri baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin yang antara lainnya berperanan membantu kerajaan mencapai janji 100 hari PH kepada rakyat seperti dinyatakan dalam manifesto pakatan itu. — Bernama

 ??  ?? DAIM
DAIM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia