Utusan Borneo (Sabah)

Melaka utamakan suara, aspirasi anak muda

-

MELAKA: Suara dan aspirasi anak muda bakal menjadi komponen penting dalam pentadbira­n Kerajaan Negeri Melaka bawah Pakatan Harapan (PH) bagi memperkasa generasi yang mampu menjadi pewaris pentadbira­n suatu masa kelak.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Mohd Rafiq Naizamohid­een berkata justeru, beliau sendiri akan membawa suara serta aspirasi anak muda, malah akan bertindak sebagai ‘jambatan’ antara anak muda dan kerajaan Melaka.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berusia 32 tahun itu berkata beliau yang mewakili generasi muda negeri itu, akan menyalurka­n idea, pandangan dan aduan golongan itu kepada kerajaan negeri serta pucuk pimpinan tertinggi PH.

“Saya percaya mandat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Rabu lepas antara lain membuktika­n keyakinan mereka terhadap golongan muda dalam usaha memberi nafas baharu kepada agenda kemajuan negeri ini.

“Justeru, saya akan memberi penekanan terhadap bidang yang dilihat berpotensi meningkatk­an ekonomi belia, terutama yang tinggal di luar bandar melalui galakan terhadap penerokaan bidang keusahawan­an, memperkasa taraf pendidikan serta pembanguna­n sukan,” katanya kepada Bernama.

PH berjaya membentuk kerajaan negeri di Melaka melalui majoriti mudah apabila menakluk 15 daripada keseluruha­n 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada PRU14, dan Pengerusi PH Melaka Adly Zahari juga Adun Bukit Katil mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11, Jumaat lepas.

Sementara itu, Mohd Rafiq turut mengingatk­an anggota PH agar menghargai sokongan rakyat dan memfokuska­n untuk menjaga kebajikan mereka secara konsisten tanpa mengira latar belakang.

“Sebelum dilantik, kita sering berkempen bahawa akan turun padang, jadi apabila dah mendapat mandat, tunaikanla­h janji dan galas amanah sebaiknya.

“Ini memandangk­an kita dapat lihat gelombang kebangkita­n rakyat masa kini yang berani melakukan anjakan paradigma sehingga membawa perubahan besar terhadap tampuk pemerintah­an negara. Oleh itu, janganlah kita alpa dengan mengekalka­n niat sebenar iaitu berjuang demi membela nasib mereka agar lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Pada PRU14, Mohd Rafiq menang dengan majoriti 7,843 undi menewaskan bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah daripada Barisan Nasional (BN) dan Rafie Ahmad mewakili Pas.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia