PAADIAN rakam ucapan tahniah kepada Yusof, Aidi
PAADIAN rakam ucapan tahniah kepada Yusof, Aidi
KOTA KINABALU: Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada dua wakil rakyat Kadayan, iaitu Datuk Dr Yusof Yacob dan Datuk Aidi Moktar, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.
PRU14 menyaksikan Yusof mengalahkan calon BN Datuk Sapawi Ahmad dan calon Parti Harapan Rakyat Patrick Saddom dalam pertembungan tiga penjuru bagi DUN Sindumin.
Aidi pula memenangi kerusi DUN Pantai Manis selepas menumpaskan penyandangnya Datuk Abd Rahim Ismail dari Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung PAADIAN Abdul Bakar Esah berkata, kemenangan Yusof yang juga presiden PAADIAN dan Aidi merupakan satu kejayaan yang membanggakan etnik Kadayan di negeri ini.
“PAADIAN amat menghargai kejayaan mereka. Kejayaan ini adalah kejayaan etnik Kadayan di negeri ini,” katanya sambil berharap Yusof akan mendapat tempat dalam Kabinet Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal yang akan dibentuk nanti.
“PAADIAN amat berharap agar etnik Kadayan mempunyai wakil dalam jemaah menteri kerajaan negeri yang akan dibentuk nanti. Jika harapan ini menjadi kenyataan ia amat bermakna bukan sahaja bagi orang Kadayan malah seluruh rakyat di Daerah Sipitang akan berkongsi kegembiraan kerana selama ini belum ada wakil rakyat DUN Sindumin yang memegang gelaran menteri,” katanya merujuk kepada senioriti politik Yusof yang berpeluang dilantik sebagai menteri.
Beberapa Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PAADIAN turut mengulas lanjut mengenai kemenangan Yusof dan Aidi.
Naib Presiden PAADIAN Yusri Pungut berkata, Sipitang selama ini kehilangan seorang pemimpin Kadayan yang dapat menyelami kehendak semua lapisan masyarakat dan berpotensi menentukan halatuju untuk memajukan daerah itu serta menyumbang kepada pembangunan negeri ini.
“Dr Yusof adalah pemimpin yang diharapkan dapat memberi sinar baharu untuk merealisasikan potensi pembangunan, khususnya dalam bidang Agro Pelancongan dan industri lain yang relevan dengan kedudukan geografi Daerah Sipitang yang terletak di pesisiran pantai, sungai selain memiliki keindahan semulajadi dan cuaca sejuk di Long Pasia dan kawasan di sekitarnya,” katanya.
Beliau juga berharap agar janji semasa kempen PRU14 dapat direalisasikan.
Antaranya, menambah bilangan penglibatan anak tempatan dalam pelbagai bidang di Syarikat Petronas SAMUR dan penyelesaian kemelut pengurusan Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI).
“Selain itu, menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang mencukupi selain menaiktaraf dan membina kemudahan asas dan jalan raya kampung ke pekan yang sepatutnya sudah lama dibina,” katanya sambil menambah, Yusof mempunyai kelayakan untuk dilantik menjadi menteri dalam Kabinet Negeri.
Bendahari PAADIAN Ramlee Kariah pula berkata kemenangan itu menjadi platform yang lebih efektif kepada Yusof untuk membawa tahap pembangunan dan urus tadbir Sipitang ke arah yang lebih baik.
“Selain itu, sebagai pejuang etnik, saya yakin beliau mampu memperkasakan kelestarian warisan budaya pelbagai etnik Sipitang yang kaya dengan budaya untuk diketengahkan menjadi daya tarikan dalam industri pelancongan di Sipitang dan Sabah,” katanya
Katanya Yusof yang berpengalaman dalam bidang pendidikan dan korporat diyakini boleh mengetengahkan Sipitang sebagai hab pendidikan, industri minyak dan gas serta industri pelancongan sebagai pemangkin kepada ekonomi di daerah itu.
Ramlee yang juga ketua Unit Audit Dalam Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) itu turut berharap Yusof dilantik menganggotai ahli Kabinet Negeri Sabah.
“Beliau seorang yang berpengalaman luas sebagai Ahli Parlimen, pengerusi Bank Rakyat, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Ahli Lembaga Pengarah Mara, timbalan pengerusi syarikat yang tersenarai di bursa saham dan ahli korporat.
“Pengalaman ini sudah tentu melayakkan beliau untuk dipertimbangkan menganggotai Kabinet Negeri Sabah. Pengalaman ini pastinya dapat membantu ketua menteri untuk melonjakkan lagi tadbir urus pengurusan kewangan kerajaan negeri serta pembangunan Sabah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras PAADIAN Zon Papar Saini Kassim menzahirkan rasa kesyukuran dan kalungan penghargaan kepada Yusof dan Aidi.
“Dengan penuh kesyukuran ke hadrat Illahi, kami mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Dr Yusof Yacob dan YB Datuk Hj Aidi Hj Moktar yang dipilih rakyat dalam PRU14 lepas.
“Kita berharap gandingan wakil rakyat Kadayan ini mampu memartabatkan kaum Kadayan ke arah yang lebih baik tanpa mengabaikan kepentingan rakyat keseleruhannya,” katanya.