Abadikan memori indah
Bouquet & Suprise Service jual pelbagai dekorasi jambangan hadiah sempena Hari Ibu
TIDAK kira apa anutan agama seseorang, golongan bernama ibu amat mulia kedudukannya kerana jasa dan pengorbanan mereka dalam mengandung, melahir dan membesarkan anak-anak.
Dan ramai yang mengatakan setiap hari adalah Hari Ibu, namun minggu kedua pada bulan Mei diangkat sebagai hari istimewa iaitu sambutan Hari Ibu Sedunia.
Sambutan Hari Ibu pada Ahad baru-baru ini juga jelas meriah apabila laman media sosial seperti Facebook dan Instagram dipenuhi dengan gambar dan ucapan kasih sayang daripada ahli keluarga kepada si ibu tercinta.
Selain itu, kedai bakeri, kedai bunga, kedai aksesori dan hadiah serta restoran turut menjadi tumpuan ramai sebagai salah satu pilihan untuk menghargai kaum ibu.
Bagi pemilik Bouquet & Suprise Service, Noorhafizianah Asmat, 25, sambutan Hari Ibu pada Ahad baru-baru ini adalah hari yang sibuk buatnya yang menjalankan perniagaan menjual dekorasi jambangan hadiah.
“Sebelum ini saya bermula dengan menghasil dan menjual bantal yang didekorasi. Selepas itu, ada pelanggan yang meminta saya agar menghasilkan hiasan kuntuman bunga untuk hari konvokesyen pelajar.
“Selepas itu, ada juga rakan yang meminta saya hasilkan jambangan bunga untuk hadiah hari jadi suaminya. Bermula dari situ, saya melihat perniagaan dekorasi jambangan hadiah ini dan menghantarnya kepada si penerima secara kejutan, ada potensi berkembang kerana sambutan amat menggalakkan.
“Dan, Hari Ibu kali ini merupakan tahun pertama saya membuka tempahan dan Alhamdulillah sambutan sangat baik. Dalam tempoh Hari Ibu itu sahaja, saya menerima lebih 50 tempahan pelbagai jambangan hadiah,” katanya ketika ditemui
Utusan Borneo pada Ahad. Bagi Noorhafizianah, menghias dan menjual jambangan hadiah amat memberi makna yang mendalam kepada dirinya.
Ini kerana, beliau bukan sahaja bertindak sebagai orang tengah dalam merealisasikan permintaan si penghantar, malah beliau sendiri dapat menyaksikan reaksi dan maklumbalas daripada si penerima.
“Sebagai contoh, ketika menghantar tempahan pada Hari Ibu yang lalu, saya dapat menyaksikan penyatuan semula dua hati iaitu ibu dan anak yang sebelum ini mungkin ada berlaku salah faham diantara mereka.
“Saya tidak tahu apa situasi sebenar, tetapi berdasarkan isi kandungan kad ucapan yang si anak minta saya tulis, saya dapat agak ada timbul masalah diantara beliau dan ibunya. Dan, ketika saya menghantar jambangan hadiah itu, si ibu sebenarnya seperti tidak mahu menerima. Tetapi Alhamdulillah, pada akhirnya si ibu mengambil jambangan hadiah itu dengan senyuman,” jelasnya.
Dalam pada itu, bagi Noorhafizianah, penggunaan media sosial yang meluas amat membantu mengembangkan lagi perniagaannya yang berusia belum sampai setahun.
“Saya memang aktif mempromosi Bouquet & Suprise Service di instagram. Dan, ia memang banyak membantu kerana kebanyakan pelanggan saya sebenarnya berasal dari luar Sandakan yang ingin menyampaikan kejutan hadiah kepada ahli keluarga, sanak saudara dan juga insan tersayang yang berada di daerah ini,” jelasnya.
NOORHAFIZIANAH menyiapkan tempahan pelanggan. “Hari Ibu kali ini merupakan tahun pertama saya membuka tempahan dan Alhamdulillah sambutan sangat baik. Dalam tempoh Hari Ibu itu sahaja, saya menerima hadiah.” lebih 50 tempahan pelbagai jambangan
NOORHAFIZIANAH ASMAT
Pemilik Bouquet & Suprise Service