Utusan Borneo (Sabah)

Anwar Ibrahim dibebas serta merta

-

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) diberikan pembebasan serta-merta pada Rabu selepas mendapat perkenan pengampuna­n penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. Lembaga Pengampuna­n bagi Wilayah-Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bermesyuar­at pada Rabu dan mempertimb­angkan kes rayuan pengampuna­n penuh beliau, menurut kenyataan Istana Negara.

Ketua umum PKR itu menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan dengan kesalahan meliwat.

Sultan Muhammad V berkenan menerima menghadap Anwar, isterinya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Istana Negara tengah hari Rabu.

Anwar sebelum itu dibenarkan keluar wad Hospital Rehabilita­si Cheras, tempat beliau menjalani proses pemulihan selepas pembedahan, dan terus ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bergerak dengan iringan kereta dan motosikal polis, Anwar tiba di Istana Negara pada 11.50 pagi dan diterima menghadap Seri Paduka kemudian.

Majlis menghadap itu berlangsun­g hampir sejam.

Pembebasan Anwar yang dipenjarak­an sejak Februari 2015 itu menjadi lebih bermakna apabila ia dibuat sehari sebelum umat Islam menyambut kedatangan Ramadan, hari ini.

Pembebasan beliau daripada penjara yang merupakan antara janji Pakatan Harapan yang turut dianggotai PKR, pada pilihan raya umum Rabu lalu, menjadi kenyataan hanya seminggu setelah pilihan raya berakhir.

Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan media bukan sahaja tempatan malah luar negara yang berkampung sejak pagi Rabu di hospital dan Istana bagi mengikuti perkembang­an pembebasan bekas timbalan perdana menteri dan juga bekas menteri kewangan itu.

Kawasan luar Istana Negara turut dipenuhi penyokong Anwar.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutua­n mengekalka­n keputusan bersalah atas sabitan kes liwat. -Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia