APMM Semporna patahkan cubaan sekumpulan perompak
SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM)mematahkan cubaan sekumpulan perompak daripada merompak nelayan di perairan Semporna pada Rabu.
Pengarah APMM Zon Maritim Semporna Leftenan Komander (M) Amiludin Yenggah berkata sebuah bot maritim diarahkan ke lokasi kejadian di kawasan Pulau Kerindingan.
“Arahan diberikan untuk siasatan dan pemantauan susulan maklumat awal yang kita terima pada kira-kira jam 6.30 petang daripada mangsa (nelayan tempatan),” katanya.
Amiluddin berkata hasil pemantauan selama hampir 10 jam itu membuahkan hasil apabila pasukannya mengesan bot yang dinaiki empat suspek perompak pada jam 3.15 pagi.
Bagaimanapun, bot yang dinaiki keempat-empat suspek memecut laju sebaik menyedari kehadiran bot APMM sehingga menyebabkan mereka dikejar oleh agensi terbabit.
“Mereka disyaki muncul kembali di lokasi terbabit kerana mahu melakukan rompakan lain selepas cubaan pertama mereka gagal, namun terserempak dengan pasukan kita.
“Kita juga sudah mengarahkan mereka berhenti namun arahan itu tidak diendahkan, malah suspek-suspek terbabit dilihat mencampakkan sesuatu ke dalam laut.
“Kemungkinan alat dan senjata untuk merompak (barang yang dicampak), dan setibanya di perkampungan air Tampi-Tampi, mereka terjun ke laut lalu meloloskan diri,” katanya.- Oleh Amir Anuar