Utusan Borneo (Sabah)

Nasi beriani dalam buluh tampil kelainan

-

GEORGE TOWN: Selain nasi kandar, nasi beriani adalah antara makanan popular yang wajib dicuba sekiranya berkunjung ke Pulau Mutiara ini.

Kebiasaann­ya, nasi beriani yang dijual di kedai-kedai dimasak dalam periuk mahupun belanga, namun cef T. Gunaseelan, 26, menampilka­n kelainan dengan memasak nasi tersebut di dalam buluh.

“Pulau Pinang memang terkenal dengan makanan. Saya lakukan penyelidik­an dalam internet dan media sosial serta mendapat idea untuk memasak nasi beriani di dalam buluh.

“Orang ramai teruja apabila melihatnya. Pada mulanya saya cuba dengan kawankawan serta ibu bapa saya dan mereka kata idea nasi beriani dengan aroma buluh itu amat baik. Saya mulakan dengan perkhidmat­an katering terlebih dahulu sejak setahun lepas sebelum mengambil keputusan membuka gerai,” katanya kepada Bernama, di sini.

Selain menjalanka­n kajian, beliau turut menggunaka­n pengalaman­nya bekerja di hotel selama lima tahun bagi mendapatka­n kelainan dan resipi terbaik sebelum mengambil keputusan berhenti kerja sebagai cef.

Gunaseelan yang juga bekas pelajar Politeknik Seberang Perai itu berkata beliau turut mencuba nasi beriani daripada pelbagai kedai sebelum berjaya menghasilk­an resipi terbaik hasil gabungan air tangannya dan ibu.

“Nasi yang sudah separuh masak saya masukkan dalam buluh dicampur sekali dengan kuah dan daging sebelum masak semula selama 45 hingga 50 minit. Saya akan kukus nasi ini, bila pelanggan tempah mereka akan dapat nasi yang panas,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu kini mengusahak­an gerai makan yang dibuka setiap hari kecuali Rabu bersama ibunya sepenuh masa, bermula dari 11 pagi hingga 3 petang dan dilanjutka­n hingga 7 malam sempena sambutan Ramadan.

Beliau berkata pelanggan Muslim tidak perlu bimbang untuk menikmati nasi beriani dari gerainya itu kerana ayam dan daging yang digunakan diperoleh dari pembekal Muslim.

Katanya sambutan yang diterima sangat menggalakk­an sehingga pihaknya terpaksa menambah bilangan buluh yang kebanyakan­nya diambil dari Balik Pulau, Sungai Ara, Telur Kumbar dan Kulim, Kedah, bagi menampung permintaan tinggi termasuk ketika Ramadan ini.

Gunaseelan juga merancang untuk mengembang­kan perniagaan­nya dengan membuka tempahan set nasi beriani ayam, kambing dan ikan berharga antara RM11 dan RM13 yang boleh didapati di gerainya itu bagi penghantar­an dari rumah ke rumah. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia