Guru penyayang, masyarakat prihatin

Kempen derma darah berjaya kumpul 31 pain

Utusan Borneo (Sabah) - - Citra - Oleh SALMAN ABADI

SEMPENA Majlis Sambutan Hari Guru 2018, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran berusaha menterjemahkan konsep ‘Guru Penyayang, Masyarakat Prihatin’ dengan menganjurkan Kempen Derma Darah di ruang tamu Pusat Kegiatan Guru (PKG) Beluran.

Program murni yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 petang itu dikelolakan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Moynod Beluran dengan kerjasama PKG Beluran dan Unit Tabung Darah Hospital Daerah Beluran dengan tema ‘Setitis darah boleh menyelamatkan nyawa – guru prihatin, masyarakat penyayang’.

Kempen itu turut dijayakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Beluran (PDB) sempena sambutan Perayaan Pesta Kaamatan 2018 peringkat daerah yang mana kedua-dua majlis itu berlangsung serentak tetapi di lokasi dan tema yang berbeza.

Tema sambutan Hari Guru Kebangsaan tahun ini ialah ‘Guru Pemacu Transformasi Pendidikan’, manakala tema sambutan Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2018 ialah ‘Kebudayaan Asas Perpaduan dan

Persaudaraan’ (Koubasanan Impovon Pisompuruan om Piobpinaian).

Setiausaha Jawatankuasa Induk Hari Guru Daerah Beluran 2018 Abdul Raman Osman yang juga ketua Unit Pengurusan Sekolah (UPS) PPD Beluran berkata, program kempen derma darah merupakan salah satu acara rasmi sempena sambutan Hari Guru tahun ini.

Katanya, selaras dengan konsep dan pendekatan Guru Penyayang, Masyarakat Prihatin serta memasyarakatkan pendidikan, maka program kempen derma darah bakal dijadikan acara tahunan sempena sambutan Hari Guru di peringkat daerah, khasnya dalam kalangan warga pendidik, penjawat awam dan juga masyarakat sekitar daerah berkenaan.

“Ia antara lain bertujuan menyemai sikap penyayang dan keprihatinan ahli masyarakat terhadap keperluan menderma darah demi membantu golongan yang memerlukan, selain membudayakan pelibatan ibu bapa dan komuniti (PIBK) dalam apa juga program pendidikan dan aktiviti sosial demi kegan pentingan ser- ta manfaat bersama,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program itu, khasnya para penderma darah dan AJK pelaksana program yang diterajui oleh SK Moynod bersama PKG Beluran dan juga Unit Tabung Darah Hospital Beluran.

Guru Besar SK Moynod Rosnah Haji Titing berkata program itu mendapat sambutan yang amat membanggakan bukan sahaja dari kalangan warga guru, tetapi juga anggota pasukan keselamatan seperti bomba dan polis, kakitangan kerajaan, ahli politik dan masyarakat setempat. Katanya, sebanyak 31 pain darah iaitu jenis O (17 pain), A (3 pain) dan B (10 pain) berjaya dikumpulkan lalu diserahkan kepada

pihak Unit Tabung Darah Hospital Beluran.

Menurutnya, seramai 40 tampil menderma namun hanya 32 yang layak selepas saringan, manakala seorang lagi penderma, Cikgu Risanti Maliyang dari SMK Beluran II yang sepatutnya layak menderma, tetapi hasrat murni menderma darah tidak kesampaian ekoran masalah ‘urat kecil’ di tangan yang menyebabkan jarum tidak dapat dimasukkan (dicucuk) pada bahagian urat.

“Lebih 60 peratus daripada 31 penderma yang menjayakan program itu terdiri daripada kalangan guru daerah Beluran, termasuklah empat guru besar iaitu Revees Marung (SK Abuan), Kelana Haji Hamros (SK Binsulung), Palmis Suhi (SK Sg Nafas) dan Jaisim Sarongkai (SK Kolapis) serta

beberapa penolong kanan di sekolah,” katanya.

Turut menderma darah ialah beberapa pegawai dari PPD Beluran iaitu Mathew Kiun (Ketua Unit ICT), Haji Razuwanda Darman (Pegawai SIP+) dan Salman Abdullah (Penyelia Unit Kokurikulum) serta Penolong Pegawai BTP/ PKG Beluran Mu Ridzuan Jusri.

Sementara itu, Juruteknologi Makmal Perubatan Unit Tabung Darah (UTD) Hospital Beluran Zita Henry Lindan merakamkan penghargaan dan terima kasih khasnya kepada pihak PPD Beluran kerana menganjurkan program itu. Katanya,

piHospital hak UTD Beluran amat mengalualukan penganjuran program seumpamanya kerana pihaknya sering kali mengalami kekurangan bekalan darah.

“Hospital Beluran memerlukan 50 hingga 60 pain darah sebulan untuk memenuhi lima keperluan utama bagi membantu pesakit atau individu yang memerlukan darah,” katanya.

Beliau menjelaskan, dua pengguna tetap bekalan darah ialah pesakit anemia (masalah kurang darah) dan juga pengidap talasemia melibatkan seramai 28 orang di Beluran pada masa kini yang memerlukan purata dua pain darah setiap bulan setiap orang.

Menurutnya, bekalan darah juga diperlukan untuk tiga keperluan iaitu persediaan darah untuk ibu mengandung, kes pembedahan dan juga kes kemalangan atau kecemasan yang memerlukan bekalan darah.

Zita berkata, orang ramai tidak harus takut menderma darah kerana ia memberikan banyak kebaikan serta manfaat bukan sahaja kepada diri penderma itu sendiri, tetapi juga kepada ahli masyarakat yang memerlukan kerana ‘setitis darah boleh menyelamatkan nyawa’.

Katanya, selain membantu orang lain, antara kebaikan yang lain jika menderma darah ialah membolehkan kita mengetahui status kesihatan yang normal seperti tekanan darah, kadar kolestrol dan sebagainya.

“Menderma darah juga dapat meningkatkan tahap kesihatan dan perasaan bimbang mengenai kesihatan terhakis sepenuhnya dan dalam masa yang sama, aktiviti menderma darah dapat menggantikan sel-sel darah menjadi baharu dan segar dalam dalam badan seseorang.

“Selain itu, menderma darah juga boleh membakar kalori ketika berbaring di atas katil/kerusi, di samping mengurangkan risiko sakit jantung kerana menderma darah dapat membantu menyeimbangkan tahap zat besi dalam badan, sekali gus meningkatkan tahap kesihatan,” katanya.

Mengenai kekerapan menderma darah, Zita berkata seseorang yang normal boleh menderma darah secara sukarela setiap tiga bulan dan penderma hendaklah berumur tidak lebih 60 tahun.

“Penderma darah juga boleh mendapat keistimewaan rawatan di hospital kerajaan,” katanya dan menambah, setiap penderma akan diberikan ‘Buku Penderma Darah’ untuk merekodkan maklumat pendermaan darah bagi seseorang penderma.

Justeru, aktiviti menderma darah ternyata amat baik dan memberikan banyak kebaikan, khasnya menyumbang kepada komuniti bagi menyelamatkan nyawa orang lain, selain memperolehi manfaat kesihatan secara berterusan.

(Gambar atas) ZITA (tengah) bersama kakitangan Unit Tabung Darah Hospital Beluran.

BEBERAPA wanita dari sekitar pekan Beluran tidak melepaskan peluang menderma darah.

ABDUL RAMAN (enam kanan) menyempurnakan gimik penyerahan 31 pain darah kepada Zita pada program itu.

ROSNAH (tiga kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Zita sambil diperhatikan Abdul Raman, Mathew dan Ramli (kanan) dari PPD Beluran.

RISANTI (tengah) dan Cikgu Helnita Jamalun (kiri) antara penderma darah, namun hasrat murni Risanti tidak kesampaian, manakala Helnita gembira dapat menderma darah buat kali pertama dalam hidupnya.

MU Ridzuan (kanan) mewakili staf PKG Beluran turut menderma darah sambil menunjukkan Buku Penderma Darah miliknya.

(Gambar kiri) HASNAH (berdiri) bersama seorang penderma darah dari SK Moynod, Cikgu Norain Abu Bakar.

KELANA (kiri) dan Revees (tengah) antara guru besar Beluran yang terawal tampil menderma darah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.