Rakyat Arab Israel di Haifa protes pembunuhan di sempadan Gaza
HAIFA: Beratus-ratus rakyat Arab Israel berdemonstrasi pada petang Sabtu lepas di Haifa dalam perpaduan dengan Gaza, di mana lebih 60 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan Israel sejak beberapa hari lepas, menurut seorang wartawan AFP.
Penunjuk perasaan melaungkan “jatuhkan penaklukan, hentikan fasisme” dan mengecam penahanan pada Jumaat lepas terhadap 19 orang di utara bandar semasa satu rali sebelumnya yang diadakan dengan perpaduan bersama penduduk Gaza.
Mereka melambaikan empat huruf besar menggunakan warna merah terang, menghasilkan perkataan “Gaza” dan melaungkan slogan termasuk “Yahudi dan Arab, kami bukannya musuh.”
Seramai 62 penduduk Palestin mati ditembak tentera Israel pada Isnin lepas ketika ribuan penduduk Palestin membantah Amerika Syarikat (AS) memindahkan secara rasmi kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqqadis selepas mengiktiraf kota yang direbutkan itu sebagai ibu negara Israel.
Mereka adalah di kalangan 119 penduduk Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel di sempadan antara Semenanjung Gaza dan Negara Yahudi sejak tunjuk perasaan beramai-ramai bermula pada 30 Mac, menurut pihak berkuasa di Gaza, yang ditadbir oleh pergerakan Islamis Hamas.
Tentera Israel menegaskan tindakannya perlu bagi mempertahankan sempadan dan menghalang kemasukan secara beramai-ramai.
Ia menuduh Hamas menggunakan tunjuk perasaan bagi menghampiri dan merosakkan pagar sempadan, termasuk meletakkan bahan letupan dan menyerang anggota tentera.
Sumber dari Palestin dan Israel kelmarin menyatakan seorang tahanan Palestin meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berada dalam tahanan Israel.
Aziz Ewisat menjalani hukuman penjara selama 30 tahun sejak 2014 dan mengalami serangan jantung pada awal bulan ini, menurut Kelab Banduan Palestin.
Pihak berkuasa penjara Israel menyatakan beliau mengalami masalah jantung selepas menyerang seorang pengawal sambil menambah bahawa Ewisat merupakan seorang anggota Hamas.
Puak Arab Israel, keturunan Palestin yang masih kekal di tanah air mereka ketika Israel dibentuk pada 1948, adalah kira-kira 17.5 peratus daripada populasi Israel.